Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyebelahi mana-mana pihak semasa pergolakan semasa Mesir sedang berlangsung, kata Timbalan Setiausaha Negara William Burns pada Isnin, dalam usaha menjawab kebimbangan kedua-dua pihak pro dan anti presiden Mohamed Mursi yang digulingkan.

Burns - yang sedang dalam rangka lawatan ke Kaherah untuk bertemu pemimpin kerajaan sementara Mesir berkata - tentera dan masyarakat perniagaan menegaskan dalam taklimat bersama kedutaan AS bahawa, terpulang kepada rakyat Mesir, dan bukan AS, untuk membawa negara mereka ke arah pemerintahan awam, lapor Reuters .

Tentera pada 3 Julai lalu menggulingkan presiden Islamis Mohamed Mursi selepas jutaan rakyat turun ke jalan raya bagi menuntut pengundurannya.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin menyifatkan tindakan itu sebagai rampasan kuasa dan menganjurkan siri tunjuk perasaan sebagai tanda bantahan sejurus selepas peristiwa itu.

"Kami tidak menyebelahi mana-mana personaliti atau mana-mana pihak," kata Burns, yang menjadi pemimpin kanan pertama AS yang melawat Mesir sejak Mursi digulingkan.

"Saya tidak datang dengan penyelesaian Amerika, saya tidak datang untuk berceramah kepada sesiapa. Kami tidak cuba untuk menggunapakai model kami ke atas Mesir."

Beliau juga berkata tidak percaya Mesir akan mengikuti jalan rakyat Syria yang memasuki kancah perang saudara, walaupun bantahan ganas melibatkan penyokong dan penentang Mursi telah menyebabkan kematian berdozen-dozen rakyat negara itu.

"Saya tidak fikir bahawa Mesir sedang dalam bahaya mengulang semula tragedi yang kita lihat di Syria hari ini," beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi berita antarabangsa itu.