Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini mengutuk tindakan segelintir individu yang menggunakan laman sosial untuk tujuan serong, termasuk menjadikannya medan menjatuhkan imej

seseorang, agama atau menghina sesebuah bangsa dan negara.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abd Rahman berkata kemudahan laman sosial bukan bertujuan mencetuskan perbalahan, sebaliknya ia sepatutnya dijadikan medium untuk menyatupadukan sesebuah bangsa dalam dunia serba canggih ini.

"Selari dengan kemajuan teknologi, semua perlu menggunakan teknologi dengan bijak dan bukannya mengikut perasaan," katanya kepada Bernama semasa majlis berbuka puasa bersama kira-kira 32 NGO Islam di Kuala Lumpur semalam.

Abdullah Zaik turut mengutuk perbuatan sesetengah NGO yang menganjurkan demonstrasi jalanan yang kebanyakannya menarik penglibatan golongan muda menyertai demonstrasi seumpama itu.

Setiausaha Agung Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma) Amir Hamzah Abdul Rajak pula meminta rakyat pelbagai bangsa di negara ini agar hormat-menghormati sesama sendiri demi kemakmuran negara.

Beliau turut menggesa agar dihentikan segera perbuatan menghina atau bertelagah di laman sosial kerana kelemahan sesebuah bangsa akan terserlah melalui perbalahan.

"Pertelagahan berlaku apabila tiada rasa hormat sesama sendiri..Jangan sampai kita berpecah, kita perlu bangkit bersatu, kuatkan barisan," katanya.

- Bernama