Bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Sime Darby Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid diarah dibicarakan di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan pecah amanah dan menipu.

Ini berikutan kegagalannya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam untuk mengetepikan dua pertuduhan utama pecah amanah dan dua pertuduhan pilihan berhubung dakwaan menipu.

Panel hakim tiga anggota diketuai Datuk Azahar Mohamed sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zubair dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mengetepikan pertuduhan itu.

Azahar berkata pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zubair adalah sah.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer tidak menerima hujahan yang dikemukakan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bahawa pertuduhan yang dihadapi anak guamnya adalah cacat dan rosak.

Azahar berkata pendakwaan berhak mengemukakan bukti dalam perbicaraan itu dan memanggil saksi bagi memberi penjelasan mengenai dokumen yang dipertikaikan.

"Kami berpendapat ini bukan kes yang layak dan sesuai serta luar biasa untuk menggunakan budi bicara kami bagi mengetepikan dan membatalkan pertuduhan," katanya.

Pada 17 Julai tahun lepas, Ahmad Zubair, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dana Sime Darby Bhd membabitkan projek pembangunan tanah adat Sarawak yang menyebabkan kerugian melebihi RM100 juta.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zubair juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu memperdaya ahli lembaga pengarah Sime Darby Bhd membabitkan projek yang sama.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Zubair didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Sime Darby Bhd, Tingkat 21, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, di sini, antara 17 Nov 2008 dan 4 Dis 2009.

Pada 15 Mac lepas, Ahmad Zubair juga gagal dalam permohonannya untuk mengetepikan kesemua pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Anthony Kevin Morais dan Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mewakili pendakwaan.

Pagi ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak permohonan Ahmad Zubair untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dua pertuduhan pecah amanah.

- Bernama