Menteri: Dakwaan ADUN isu tanah runtuh tak berasas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup menyifatkan kenyataan anggota Dewan Undangan Negeri Api-Api, Christina Liew mengenai isu kejadian tanah runtuh di Kundasang sebagai tindakan politik murahan yang tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak berasaskan kepada fakta sebenar.
Dalam kejadian Selasa lepas, seorang wanita warga emas, Dahumi Kinte, 70an, terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Mesilau, Kundasang.
Beliau berkata sebagai seorang wakil rakyat, Liew dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sepatutnya menuduh secara melulu tanpa menyelidik terlebih dahulu mengenai kesahihan perkara tersebut.
Dalam menangani isu ketidakstabilan cerun dan struktur geologi di kawasan Kundasang pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah menjalankan dua kajian dari tahun 2011 hingga 2012, katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu semalam.
Kurup ( atas ), yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata kajian pertama iaitu 'Engineering Geologikal Assessment of Resort/ Hotel Sites In The Kundasang Area, Sabah' dilaksanakan pada 2011 di bawah Projek Kajian Geobencana Sabah.
Kajian itu merangkumi 18 tapak resort yang membabitkan aspek geologi, bentuk muka bumi, hakisan, kekangan fizikal tapak dan penilaian geologi kejuruteraan serta cadangan mitigasi, katanya.
Beliau berkata laporan kajian berkenaan telah diterbitkan (JMG.SBH (GBN) 1/2012 dan telahpun dikemukakan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Majlis Daerah Ranau dan Pejabat Daerah Ranau.
Kurup berkata kajian kedua ialah mengenai ancaman gelinciran tanah kawasan-kawasan Dumpiring, Kundasang dan Lembah Permai.
Taklimat berhubung laporan kajian ini telah pun diberikan kepada Kabinet Negeri Sabah pada Mei 2011, katanya.
Beliau berkata tanggungjawab kerajaan Persekutuan adalah untuk menjalankan kajian dan ia telahpun siap dilaksanakan. Bagi melaksanakan syor-syor yang terdapat dalam laporan berkenaan maka ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Kurup berkata kerajaan persekutuan amat prihatin dalam perkara ini dan bersedia untuk membantu menangani masalah tersebut.
- Bernama

