PMINT jamin selesai tuntutan 3,000 pemegang pajakan
Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memberi jaminan untuk menyelesaikan tuntutan melibatkan 3,000 orang pemegang pajakan untuk memperbaharui perjanjian sewaan tanah ladang kelapa sawit di Kemaman.
Satu sumber PMINT ketika dihubungi Malaysiakini berkata, perbadanan tersebut kini sedang membincangkan terma baru berhubung pajakan tanah ladang seluas 33,500 ekar dengan TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) yang mengusahakan ladang itu.
Sumber tersebut diminta menjelaskan kedudukan isu tersebut susulan tindakan pemegang pajakan berkenaan yang mengadu isu tersebut kepada Biro Pengaduan Awam apabila tidak lagi menerima hasil ke atas tanah tersebut dari TDMP sejak 2011.
Pegawai kanan tersebut berkata, PMINT kini sedang dalam proses perbincangan dengan TDMP berhubung terma baru pajakan, selepas tempoh pajakan selama 45 tahun itu tamat pada 2010.
"Benda ini memakan masa. Tak boleh nak paksa PMINT untuk sambung. Kita juga dah beri jawapan kepada Biro Pengaduan Awam dan mereka ambil maklum tentang perkara ini.
"Sekarang ini dalam proses perbincangan bersama TDMP untuk terma yang baru.
"Kita belum lagi berjumpa dengan TDMP sama ada mereka bersetuju dengan terma baru itu atau tidak tetapi kita sudah berada di peringkat terakhir. Akan selesai secepat mungkin.
“Tapi kita tak boleh janji siap selepas raya atau tidak kerana benda ini memakan masa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Malaysiakini semalam menemui empat orang wakil pemegang pajakan tersebut yang mendesak PMINT memperbaharui perjanjian penyewaan tanah pajakan berkenaan.
Seorang daripadanya, S Sivasegaran, 81, berkata, PMINT sehingga kini masih belum memberi sebarang penjelasan berhubung penjanjian baru itu
Sivasegaran berkata pemegang pajaran berkenaan masih belum mendapat bayaran berjumlah kira-kira RM19,000 untuk tahun 2011.
Mengulas perkara itu, sumber PMINT berkata, isu bayaran berkenaan hanya akan diselesaikan apabila terma berkenaan dipersetujui oleh TDMP.
“Bila semua terma ini dah setuju kita akan bawa kepada lembaga pengarah (TDMP). Perbincangan terakhir ini bukan melibatkan semua tanah tetapi sesetengah tanah.
“Kita dah terangkan dah. Saya cadangkan Encik Siva bersama peguamnya pergi rujuk kepada Biro Pengaduan Awam apa yang berlaku," katanya.
Siva dan para pemegang pajakan berkenaan telahpun mengemukakan kes tersebut kepada Biro Pengaduan Awam pada April lalu.
Pemegang pajakan berkenaan pada 24 April menerima surat dari Biro Pengaduan Awam berhubung maklum balas PMINT, yang juga menyebut bahawa isu berkenaan masih dalam proses perbincangan di antara PMINT dan TDMP.

