FAM usaha perbanyak perlawanan kelas 'A'
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah yakin ranking dunia skuad Harimau Malaya yang kini berada pada tangga 159 akan meningkat dalam tempoh terdekat.
Sultan Pahang itu bertitah semua pihak yang berkepentingan dalam bola sepak negara bagaimanapun perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan ranking skuad Harimau Malaya tidak mengalami kemerosotan mendadak.
"Janganlah disebabkan ranking kita tidak begitu membanggakan, kita hendak berputus asa, sebaliknya kita perlulah berusaha keras.
"Saya sentiasa berpandangan positif pandangan segelintir pihak mengenai pasukan kita tetapi kita akan terus berjuang teguh di belakang pasukan kebangsaan," titah baginda pada sidang media selepas majlis berbuka puasa FAM bersama media di sebuah hotel di Petaling Jaya malam ini.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata ranking bola sepak dunia memainkan peranan penting bagi sesebuah pasukan kerana ia menjadi penanda aras terhadap kekuatan pasukan berkenaan.
Menteri itu turut menggesa FAM mencari pendekatan seimbang untuk memperbaiki ranking skuad Harimau Malaya termasuk memperbanyakkan perlawanan berstatus 'A' selain mengurangkan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab yang dilihat tidak begitu membantu menaikkan ranking skuad Harimau Malaya.
Mengulas lanjut, Sultan Ahmad Shah bertitah setiap individu mempunyai kebebasan untuk menyuarakan pendapat mereka termasuk dalam isu melibatkan skuad Harimau Malaya.
"Saya tidak pernah melarang mana-mana individu untuk bersuara...Walaupun kadang-kala saya agak terasa, tetapi berasa bertanggungjawab untuk mengikuti (segala pandangan yang diutarakan mereka) demi kebaikan bola sepak negara," titah baginda.
Berkongsi pandangan yang sama ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang memberikan jaminan badan induk bola sepak kebangsaan itu sedang berusaha untuk memperbanyakkan perlawanan persahabatan berstatus 'A' bermula tahun depan bagi memastikan ranking skuad kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal tidak merosot.
Ditemui pemberita pada majlis itu, Hamidin berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Jabatan Pertandingan Antarabangsa FAM, Zulkarnain Abdul Rahman untuk melihat tarikh pada kalendar FIFA yang bersesuaian untuk mengadakan perlawanan berstatus 'A'.
"Bagaimanapun, kita perlu ingat kadang kala sesetengah tarikh itu tidak bersesuaian dengan jadual sesebuah pasukan lain yang mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan lain seperti kelayakan Piala Dunia, Piala Asia dan sebagainya.
"Walaupun tugas itu bukan senang kerana pasukan lain turut memilih untuk mengadakan perlawanan dengan pasukan lain, tetapi kita di FAM akan berusaha untuk memastikan perlawanan berstatus 'A' dapat diadakan," katanya.
Hamidin berkata mengikut kalendar FIFA musim depan, terdapat sembilan tarikh yang dibenarkan oleh FIFA untuk diadakan perlawanan berstatus 'A'.
"Sejak beberapa minggu lepas, kita sudah mula menghantar surat jemputan terutamanya dari rantau Asia dan Asean untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan kita," katanya.
- Bernama

