BERITA

Hanya pendekatan agresif mampu selamatkan PAS

Muhamad Hisommudin Bakar

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Jul 2013, 10:24 pagi

ULASAN PAS turun sebagai underdog dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut selepas kalah dengan majoriti agak besar dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Penampilan Azlan Yusof ( gambar bawah, berkopiah hitam ) atau panggilan mesranya Che Long sebagai calon PAS bagaimanapun menjadikan pertembungan adalah sengit dan sukar diramal.

Kajian pola pengundian dalam pilihan raya kecil Kuala Besut yang diadakan pada 18 sehingga 21 Julai 2013, menunjukkan populariti calon PAS jauh mendahului 71 peratus berbanding 14 peratus bagi calon BN.

NONE Kajian ini melibatkan 546 responden yang melibatkan kesemua lapan daerah mengundi dalam DUN Kuala Besut.

Kawasan pilihanraya N01 Kuala Besut mempunyai keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya yang mempengaruhi pola pengundian di sini.

Paling jelas, pendirian politik mereka dizahirkan dengan jelas seawal tempoh kempen berbanding dengan kawasan-kawasan pilihan raya kecil sebelum ini, yang mana pengundi menyembunyikan pendirian politik mereka.

Rata-rata responden yang ditemui suka dikenali dengan imej parti yang mereka wakili.

Faktor pertembungan Umno dan PAS yang begitu tajam pada era 80-an banyak mencorakkan sikap pengundi antara kedua boleh pihak yang bertanding kali ini.

Kesannya, margin pengundi yang belum menentukan sikap sepanjang kempen ini kelihatan mengecil peratusannya, iaitu sekitar 15 hingga 20 peratus sahaja.

Che Long vs janji BN

Dapatan kajian yang paling unik ditemui, berhubung kekuatan calon PAS, Azlan @ Endot Yusof atau lebih dikenali dengan panggilan Che Long.

Berdasarkan maklum balas responden yang ditemui, Che Long lebih dikenali oleh pengundi dan penduduk Kuala Besut berbanding calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman - yang cuba dipopularkan sebagai Abe Ku.

NONE Peratusan responden yang memihak Che Long sebanyak 71.6 peratus jauh meninggalkan Abe Ku yang hanya mendapat 14.2 peratus.

Seakan mengetahui kekuatan ini, jentera PAS dilihat menggunakan strategi mengetengahkan nama Che Long berbanding imej parti.

Ironinya, kekuatan imej Che Long ini kelihatan tidak dapat diterjemahkan kepada bentuk undi oleh responden atas beberapa faktor yang lebih dominan.

Sejarah pertembungan radikal dan ekstrim PAS-Umno suatu ketika dahulu yang menyaksikan isu yang kontroversi seperti kafir mengkafir dan sembahyang dua imam masih membayangi pengundi.

Penampilan Che Long yang mewakili PAS yang dilihat membawa imej kebajikan untuk semua dan perwatakan rentas parti belum berjaya memadamkan legasi lama ini.

Sikap responden yang memberi wajaran tinggi kepada soalan-soalan positif tentang Che Long perlu diberi perhatian.

NONE Jumlah 51.2 penratus responden misalnya bersetuju bahawa Che Long adalah seorang peniaga yang cukup dermawan manakala 65.1 peratus menerima Che Long sebagai seorang yang ramah dan mudah mesra.

Kekuatan figura Che Long berdepan dengan dilema pengundi untuk diterjemahkan kepada bentuk undi.

Kempen agresif dan mewah oleh jentera BN membelenggu pertimbangan rasional pengundi di sini.

Elemen bantuan rakyat dimanipulasi sepenuhnya oleh jentera kerajaan dalam pelbagai bentuk sama ada bersifat one off hinggalah kepada janji-janji yang mengikat minda pengundi.

Kebanyakan responden mengakui terpengaruh dengan manipulasi ini sehinggakan peratus prediksi kemenangan memihak kepada BN mendahului sebanyak 69 peratus berbanding hanya 13 peratus kepada PAS.

Undi pulau, pesisiran pantai

Pengamatan kajian menerusi tren pengundi yang berada di lokaliti Pulau Perhentian dan juga di pesisiran pantai seperti daerah mengundi Seberang Barat, Seberang Barat Luar, dan

Kampung Nail kekal sebagai kubu kuat Umno dan Barisan Nasional.

Kawasan ini sukar ditembusi menerusi kempen konvensional jentera PAS.

Situasi penduduk di sini yang hidup sebagai nelayan pantai, pekerja di sektor pelancongan Pulau Perhentian menjadikan mereka sangat bergantung kepada bantuan kerajaan.

Dalam situasi ekonomi yang menekan sekarang seperti kenaikan harga minyak dan kos penyelenggaraan bot yang tinggi menjadikan mereka terpaksa bergantung sepenuhnya

kepada subsidi bahan api dan bayaran bulanan sara hidup nelayan.

Dalam keadaan ini, mana mungkin mereka boleh menzahirkan sikap yang tidak memihak kepada BN.

Maka faktor ini digunakan sepenuhnya oleh jentera BN untuk menghalang pengundi daripada menyokong PAS.

Pengundi luar & orang muda

Berdasarkan senario ini, bagi pihak PAS, mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peralihan undi penyokong BN di kawasan tegar yang dinyatakan di atas.

NONE Strategi kini tertumpu untuk memenangi hati pengundi muda dan pengundi yang berada di luar kawasan bagi menyokong PAS.

Merujuk kepada komposisi umur pemilih memperlihatkan pengundi muda di DUN ini mencecah 51 peratus daripada keseluruhan pemilih.

Pengundi luar sekitar 2,000 orang berada di luar kawasan.

Hari pembuangan undi yang ditetapkan pada hari bekerja, hari Rabu menyebabkan pengundi luar sukar untuk pulang mengundi.

Sekiranya trend pengundi luar yang dilihat tidak memihak kepada BN, maka keadaan ini memberikan tekanan kepada pihak PAS.

Isu tak pengaruhi undi

Sepanjang perjalanan kempen, usaha pihak PAS menimbulkan beberapa isu berkaitan dakwaan penyelewengan Umno dan juga BN di Kuala Besut kelihatan tidak mempengaruhi keputusan pengundi.

Antara isu yang ditimbulkan ialah isu pemilikan tanah oleh pemimpin-pemimpin Umno Besut, penjualan tanah 200 ekar di Pulau Perhentian dan kegagalan projek perumahan dan pembangunan.

NONE Merujuk kepada dapatan kajian, hanya 8.7 peratus di kalangan responden memberi reaksi kepada isu pemberian tanah kepada pemimpin Umno, pembinaan rumah pangsapuri untuk

nelayan di Kampung Tok Saboh sebanyak 6 peratus, dan isu rampasan tanah oleh BN di Kampung Tok Saboh hanyalah 4.5 peratus.

Begitu juga dengan tema kempen PAS "16:16 Terengganu Baru" untuk menjadikan DUN Kuala Besut sebagai penyumbang kepada situasi kritikal di dalam DUN Terengganu hanya

berada pada peratus 8.7 peratus.

Walaupun realiti kemiskinan di Kuala Besut berada pada tahap 80 peratus, hakikatnya situasi ini memberikan pihak BN kelebihan di mata pengundi, akibat kebergantungan mereka kepada bantuan dan subsidi.

Pendekatan mewah BN

Kedua-dua pihak yang bertanding mempunyai peluang untuk memenangi dalam pilihan raya ini.

Bagi pihak PAS, bagi menjamin kemenangan, kekuatan kempen fasa akhir terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kekuatan calonnya, Che Long.

Di samping itu, berharap berlaku pertambahan sokongan pengundi muda dan pengundi luar untuk merealisasikan kemenangan mereka.

kuala besut 130713 muhyiddin yassin

Kekuatan Che Long yang mempunyai hubungan langsung dengan pengundi dilihat kental.

Pengundi yang terdiri daripada pelanggan-pelanggan, pekerja-pekerja dan rakan niaga dalam industri yang diterajuinya serta orang ramai yang pernah dibantu oleh beliau adalah aset untuk

membolehkan beliau diundi.

Pengundi muda dan pengundi luar yang kritikal terhadap BN dalam isu-isu nasional akan memberikan kekuatan kepada PAS.

Di pihak BN pula, faktor "economic security" masih dominan di Kuala Besut.

Kedudukan sosioekonomi pengundi di sini yang berada di bawah garis kemiskinan menyebabkan kebergantungan kepada manipulasi bantuan pihak BN.

Meskipun calon BN tertinggal jauh di belakang, namun kaedah kempen agresif dan mewah BN boleh menjadikan pengundi yang berada dalam situasi ekonomi terdesak seperti di Kuala Besut akan memihak kepada mereka.

Kesimpulannya, berdasarkan dapatan kajian yang dilakukan berakhir 22 Julai, BN masih mendahului PAS untuk menang dalam pilihan raya kecil jika tiada sebarang tindak balas

agresif oleh PAS pada pusingan akhir kempen di Kuala Besut ini.


MUHAMAD HISOMMUDIN BAKAR pengerusi Eksekutif Ilham Centre - sebuah firma penyelidikan bebas yang menumpukan pengkhususan dalam bidang kajian lapangan.

Artikel ini dipetik dan diubah suai daripada ringkasan eksekutif tinjauan pola pengundian dalam pilihan raya kecil Kuala Besut yang dijalankan badan itu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan