Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengutip sebanyak RM224 juta zakat sejak Januari sehingga kelmarin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jumlah itu meningkat hampir RM44 juta berbanding RM180.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

"Harap dengan adanya kutipan zakat ini akan dapat membantu golongan asnaf serta golongan memerlukan selain untuk membuat lebih banyak majlis keagamaan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan di Masjid Putra di Putrajaya semalam.

Turut hadir Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Beliau berkata lazimnya bulan Ramadan akan mencatatkan kutipan zakat yang tinggi selain kutipan pada setiap hujung tahun.

Pada majlis itu, sebanyak 11 syarikat antaranya Amanah Saham Bumiputera, Felda D'Saji Sdn Bhd dan Hospital Pusrawi Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan mereka membabitkan jumlah keseluruhan RM13 juta.

Sementara itu, Mustafa dalam ucapannya berkata PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM430 juta melalui 120,000 pembayar, tahun ini.

Menjelas lanjut beliau berkata pada Ramadan tahun lalu, sebanyak RM35 juta zakat telah dikutip dan menjangkakan jumlah kutipan akan meningkat sebelum penghujung Ramadan.

Katanya, pembayar zakat di sekitar Lembah Klang boleh berbuat demikian di 10 kaunter zakat yang dibuka dari 8.15 pagi hingga 4.30 petang dan bayaran boleh dibuat secara tunai atau cek.

Sepuluh kaunter berkenaan ialah di Shamelin Perkasa, Masjid Negara, Wangsa Maju Pusat Satelit Seksyen 5, Putrajaya Presint sembilan, Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Daruzzakah, Masjid Al-Imam Al-Ghazali Kepong, Masjid Abd Rahman Bin Auf Jalan Puchong, Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur di Pudu Sentral serta Cawangan Labuan Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

- Bernama