Naib Presiden Parti KeADILan Nasional, Tian Chua, menyebutkan kemungkinan beliau dan lima pemimpin parti itu yang tamat tempoh reman esok "ditahan semula."

"Ia adalah arahan dari (Balai Polis) Dang Wangi," kata Tian melalui nota bertulis tangan yang dihantar melalui faksimili kepada malaysiakini petang tadi.

Nota itu ditulis jam 11 pagi tadi ketika beliau di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Tian juga mendakwa tindakan itu hanyalah "taktik kotor" untuk melemahkan semangat mereka.

"Itu hanyalah khayalan mereka. Kami tidak akan sekali-kali berundur," tulis Tian dalam Bahasa Inggeris.

Beliau juga berharap penyokong-penyokongnya meneruskan perjuangan, khususnya di peringkat antarabangsa.

Sementara di peringkat kebangsaan, Tian mencadangkan satu memorandum dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang baru ditubuhkan.

Suruhanjaya itu tidak bersedia memberikan sebarang ulasan mengenai tangkapan ini sehingga mesyuarat pertamanya pada Isnin depan.