TPM: BN menang di semua lapan pusat daerah mengundi
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kemenangan BN itu sebagai manifestasi sokongan dan kepercayaan berterusan rakyat terhadap segala usaha yang dirancang dan dilaksana kerajaan BN.
Timbalan perdana menteri berkata kemenangan itu menjadi lebih menarik apabila BN menerusi calonnya Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menang di semua lapan pusat daerah mengundi, termasuk di Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang dikuasai PAS dalam pilihan raya umum yang lepas.
Beliau berkata walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah tetapi pendekatan 'man-to-man marking' yang dilaksanakan sepanjang kempen memberi impak begitu positif dalam jumlah undi yang diraih.
"Walaupun kempen kita lebih tertumpu pada waktu malam melalui majlis berbuka puasa, tarawih dan moreh tetapi sentuhan berhemah tanpa menyerang peribadi lawan itu nyata memberi impak kepada pengundi.
"Selain itu, inisiatif yang diambil dalam menyelesaikan hampir semua masalah penduduk juga memberi kesan yang mendalam kepada keyakinan pengundi terhadap calon dan kerajaan BN," katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan pilihan raya itu di dewan Majlis Daerah Besut di Jerteh dekat Kuala Besut malam tadi.
Muhyiddin, yang juga pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil itu, berkata kemenangan BN di Kampung Nangka dan Bukit Puteri juga terhasil menerusi gerakan 'berfokus' yang dibuat jentera parti berbanding tumpuan menyeluruh dalam pilihan raya umum lepas.
Katanya kemenangan itu juga tercetus hasil sokongan berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN serta seluruh jentera parti termasuk peranan yang dimainkan Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh yang bertindak sebagai timbalan pengarah pilihan raya bagi pilihan raya kecil itu.
Muhyiddin berkata kemenangan itu juga adalah hadiah paling bermakna kepada Najib sempena hari lahir beliau yang disambut kelmarin.
Katanya walaupun pembangkang mungkin menjadikan kegagalan BN untuk memperoleh majoriti lebih 4,000 yang disasarkan sebagai modal menutup kekalahan, tetapi mereka juga seharusnya tidak mempertikaikan keputusan yang telah dibuat pengundi.
Dalam pada itu, beliau berjanji untuk memastikan setiap projek yang dirancang akan dilaksanakan secepat mungkin dan Tengku Zaihan akan sentiasa bersama rakyat menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul.
"Kerja Tengku Zaihan sebagai wakil rakyat akan bermula malam ini dan beliau perlu menumpukan sepenuh masa bersama rakyat untuk membantu mereka dalam segenap bidang," katanya.
Tengku Zaihan mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi.
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan BN itu sekaligus menunjukkan rakyat tidak terpedaya malah menguburkan teori 16:16 yang digembar-gemburkan PAS bagi mewujudkan kerajaan negeri 'tergantung' yang boleh menjurus kepada ketidakstabilan politik dan pentadbiran negeri.
"Saya berharap PAS mengakui hakikat bahawa rakyat di Terengganu masih memerlukan BN, dan marilah kita istiqamah bersama-sama untuk membentuk kerajaan yang adil untuk rakyat di Terengganu," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menegaskan kemenangan itu menolak tohmahan pembangkang kononnya sokongan rakyat terhadap BN telah berkurangan.
"Tahniah dan terima kasih kepada semua pengundi di Kuala Besut yang keluar mengundi dan menunaikan hak mereka," katanya .
Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel menyifatkan kemenangan itu adalah satu petanda yang baik untuk BN.
Bagi Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, kemenangan itu merupakan satu pengesahan bahawa penduduk Kuala Besut inginkan kestabilan di Terengganu.
"Ia satu petunjuk yang kuat bahawa mereka inginkan kestabilan serta yakin dengan BN apabila mereka mengundi untuk mengelak berlakunya situasi 16:16 di negeri itu.
"Ia juga menunjukkan rakyat yakin bahawa kerajaan negeri mampu memimpin mereka ke arah masa depan lebih baik," katanya ketika dihubungi Bernama.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata langkah BN meletakkan calon muda dan profesional seperti Tengku Zaihan terbukti keputusan yang bijak.
Beliau berkata kemenangan BN menunjukkan calon muda juga diterima pengundi Kuala Besut yang inginkan pembangunan ke kawasan mereka.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Abe Ku. Keputusan yang meyakinkan ini juga menunjukkan pengundi Kuala Besut dan Terengganu masih ingin mengekalkan kepimpinan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan kerajaan negeri BN," katanya.
Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata peningkatan jumlah majoriti BN membuktikan rakyat meletak kepercayaan yang tinggi kepada kepimpinan parti itu untuk menerajui Terengganu.
"Pengundi sekarang sudah bertambah matang, dapat membezakan yang mana benar dan yang mana dusta, yang mana kaca dan yang mana intan," katanya.
Berkongsi pandangan dengan Liow, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M.Kayveas berkata keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan rakyat masih menyokong parti gabungan BN bagi menerajui kerajaan negeri.
"Ia agak jelas daripada keputusan itu bahawa rakyat di Terengganu masih lebih menyukai pendekatan aman dan progresif dalam tadbir urus," katanya ketika dihubungi.
Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata kemenangan itu menzahirkan kepercayaan berterusan rakyat terhadap BN susulan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas.
Chang juga berharap sokongan sedemikian kepada BN, parti gabungan yang mengemudi negara sejak lebih lima dekad lepas, bukan sahaja dilihat di Kuala Besut bahkan kawasan lain di seluruh negara.
Naib Pengerusi MCA Datuk Donald Lim Siang Chai pula menyifatkan keputusan itu menunjukkan parti komponen BN sederap dalam melakar percaturan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan penghargaan kepada jentera Wanita Umno yang berkempen tanpa mengenal erti penat lelah pada bulan Ramadan, termasuk dari rumah ke rumah.
"Sambutan penduduk juga sungguh mesra, ini menunjukkan BN diterima baik di sini dan saya yakin ia memberi kekuatan untuk kita pada PRU ke-14 akan datang," katanya.
- Bernama

