Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) serta Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini memohon bantuan guaman serta dana wang jaminan mahkamah bagi 33 individu yang akan didakwa berhubung perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen 24 Jun lalu.

Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, 33 individu tersebut akan didakwa pada 29 Julai ini di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa menyertai perhimpunan haram.

Menurutnya lagi, 17 daripadanya juga akan berdepan dengan pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana cubaan merusuh.

NONE "Jumlah cukup besar iaitu seramai 33 orang, bayangkan jika seorang wang jaminan RM3,000  bagi satu pertuduhan, maka ia mencecah RM150,000 nilai jaminan yang diperlukan. Jika tidak, maka akan ada yang akan berpengalaman meraikan Aidilfitri dalam Penjara Sungai

Buloh.

"Kepada peguam yang sudi membantu untuk memberi khidmat guaman secara sukarela, kami mohon untuk tampil dari seluruh negara kerana selain kes ini, kami akan cuba membina rangkaian peguam rakyat bagi kes-kes  perlawanan rakyat di seluruh negara.

"Kepada yang berkemampuan diharap dapat bersama menyumbang bagi kami mengumpulkan dana yang cukup bagi tujuan ikat jamin, jika ada baki maka akan dikumpulkan bagi menjamin orang kena tuduh (OKT) berkaitan kes perlawanan rakyat di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, menurut Chegu Bard lagi, wang jaminan tidak akan hilang selepas kes tersebut selesai, sebaliknya ia boleh diambil balik.

Katanya, wang jaminan akan dibuat di dalam buku akaun di bawah nama penyumbang dan selepas kes selesai, penyumbang tersebut boleh pergi ke mahkamah bagi mengambil semula wang jamin tersebut.

"Untuk itu bagi penyumbang dana dalam jumlah besar dan punya keberanian, agar tampil sebagai penjamin sendiri dan wang jaminan akan dibuat dalam buku akaun di bawah nama penyumbang (dalam akaun bank yang dibekukan mahkamah) dan selepas kes selesai, penyumbang boleh tampil ke mahkamah untuk dapatkan surat bagi mengambil semula wang jamin tersebut," katanya lagi.

Sehubungan itu, mana-mana peguam yang ingin memberi perkhidmatan boleh menghubungi Pengerusi SMM Safwan Anang di talian 014-8408219 atau Azmir Mustafa 012-2231239 atau emelkan kepada samm4anakmuda@gmail.com untuk butiran akuan sedia menyediakan khidmat guaman.

Untuk menyumbang dana pula boleh terus memasukkan wang ke akaun Maybank bernombor 555041113224 atas nama Solidariti Anak Muda dan SMS ke nombor 012-6937908 atau emel yang sama bagi makluman pengesahan.