Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjalankan ujian klinikal ke atas kit diagnostik Kumpulan RVR yang dibangunkan oleh syarikat Malaysia untuk menguji deman denggi.

Kumpulan RVR diketuai Mac Vajuram dan Dr Avijit Roy, kedua-dua warga Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat.

Kumpulan RVR itu menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan UKM untuk melaksanakan ujian klinikal tersebut pada satu majlis di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York baru-baru ini.

Menurut wakil syarikat itu, UKM dipilih kerana mempunyai kepakaran dan cara untuk menjalankan ujian itu serta merupakan sebuah institusi kebolehpercayaan yang diiktiraf di dunia.

Katanya penemuan muktamad oleh UKM itu akan membantu mendapatkan kelulusan agensi Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) untuk mengkomersialkan kit diagnostik itu.

Dalam temuramah dengan Bernama di New York , Vajuram berkata kit diagnostik itu merupakan alat pertama dibangunkan untuk menguji deman denggi.

"Kit diagnostik seperti ini sudah sedia ada untuk penyakit HIV, penyakit kelamin dan masalah kesihatan lain tetapi deman denggi yang banyak menimpa negara-negara Asia untuk kali pertama boleh diuji dengan kit ini," katanya.

Menurutnya, kit itu dibangunkan di Amerika Amerika oleh Chembio, sebuah syarikat berpangkalan di Long Island, New York, di mana RVR mempunyai pelesenan perjanjian untuk kegunaan komersial di Malaysia.

"Selain Malaysia, kami merancang untuk memasarkan produk ini ke seluruh Asia," katanya.

- Bernama