Malaysia berpendapat bahawa negara-negara Asean perlu menyelesaikan isu tuntutan sempadan maritim yang bertindih di Laut China Selatan sebelum mengadakan perbincangan dengan pihak menuntut iaitu China, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

NONE "Saya telah mencadangkan kepada negara-negara Asean dengan tuntutan bertindih bahawa ia akan baik bagi kita untuk memulakan perbincangan secara tidak rasmi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, di Putrajaya semalam.

Jika ada keperluan, negara-negara Asean boleh membawa perkara ini secara rasmi di peringkat pegawai-pegawai kanan dan kemudian ke peringkat Menteri-Menteri Luar untuk penyelesaian yang terbaik, katanya.

Anifah berkata pendirian Malaysia terhadap pertikaian di Laut China Selatan adalah konsisten iaitu ia mahu resolusi terbaik bagi mengekalkan persahabatan dan hubungan baik di rantau ini.

Beliau juga berkata pada masa sama semua pihak perlu bersandarkan kepada undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).

"Kita mengatakan bahawa kita mesti menghormati Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkaitan Dengan Laut China Selatan yang dimeterai oleh Menteri-Menteri Luar Asean dan China pada 2002.

"Selain itu, pada 2011, Menteri-Menteri Luar Asean dan China menandatangani pelaksanaan deklarasi tersebut," katanya.

Anifah berkata delegasi China dan pegawai Malaysia membincangkan pelbagai isu termasuk pendidikan, pelancongan, pertahanan, keselamatan dan membanteras jenayah merentas sempadan selain soal meningkatkan hubungan dua hala.

Beliau juga berkata China telah menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri Ekspo Asean China bulan depan.

"Wang Yi memberitahu saya bahawa Presiden China Xi Jinping sangat berminat untuk datang ke sini. Jadi kita bekerja rapat dalam mencari tarikh yang sesuai," katanya.

Wang Li mengadakan lawatan rasmi sehari ke Malaysia dan mengadakan kunjung hormat kepada Najib.

- Bernama