Kerajaan negeri Pulau Pinang diminta bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mencari penyelesaian berhubung isu dakwaan tiga doktor bersikap rasis dan tidak memberi perkhidmatan baik kepada pesakit di sebuah hospital kerajaan di negeri  itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kerajaan negeri menerusi exco Kesihatan Dr Afif Bahardin tidak wajar mengalih perhatian masyarakat dengan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

    

"Isu saman menyaman tidak sepatutnya timbul, kita ahli politik jangan gaduh sesama sendiri sebaliknya fokus untuk selesai masalah rakyat," katanya kepada pemberita pada program sumbangan raya kepada orang kurang upaya (OKU) di George Town hari ini.

    

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Ketua Menteri Lim Guan Eng menafikan pernah berjanji secara lisan kepada Kementerian Kesihatan untuk menyerahkan laporan siasatan kes itu sebagaimana didakwa Hilmi baru-baru ini.

    

Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata setakat ini kementerian

 

belum menerima laporan siasatan daripada kerajaan negeri berhubung kes itu.

Isu dakwaan terdapat doktor yang bersikap rasis terhadap pesakit itu dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang awal bulan lepas.

    

Terdahulu itu, Hilmi meraikan 843 kanak-kanak OKU dari 22 pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Pulau Pinang dengan membawa mereka membeli-belah di Pasaraya Mydin di sini sempena sambutan Aidil Fitri.

    

Program amal itu anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan Pertubuhan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Pulau Pinang (Sejati) dengan kerjasama Pasaraya Mydin.

    

- Bernama