Kecoh bila rakyat dikehendaki As ditahan semula di Mahkamah
Berlaku kekecohan di sebuah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini apabila anggota keluarga dan peguam yang mewakili seorang rakyat Iran, yang dikehendaki pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), cuba menghalang pegawai imigresen menahan semula lelaki itu, anak orang kenamaan di Iran.
Insiden berlaku sebaik sahaja Hakim Kamardin Hashim memerintahkan Sajad Farhadi dibebaskan selepas membenarkan permohonan habeas corpus beliau dan mengenepikan perintah Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan Pejabat Peguam Negara untuk mengekstradisinya ke AS.
Farhadi, 34, pelajar peringkat PhD sebuah kolej swasta di ibunegara, dipeluk oleh isteri dan anggota keluarga sejurus selepas Kamardin menyampaikan keputusan itu.
Berlaku pertikaman lidah antara Peguam Kanan Persekutuan Mohd Dusuki Mokhtar dan peguam mewakili Farhadi, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, apabila peguambela itu bersemuka dengan pegawai imigresen mengenai alasan anak guamnya ditahan.
"Jika anda mahu tahannya, anda perlu maklumkan kepadanya atas kesalahan apa yang beliau ditahan. Anda tidak boleh suka-suka menggari tangannya seperti itu di dalam mahkamah," kata Muhammad Shafee kepada seorang pegawai imigresen yang berpakaian preman.
Isteri Farhadi yang kelihatan gembira semasa hakim mengumumkan keputusannya, menangis ketika beliau cuba mendapatkan penjelasan daripada Muhammad Shafee kenapa suaminya digari semula.
Mohd Dusuki menjelaskan kepada Muhammad Shafee dan keluarga Farhadi bahawa walaupun mahkamah memerintahkan Farhadi dibebaskan, beliau masih perlu ditahan untuk membantu siasatan lanjut bagi dua kesalahan didakwa dilakukannya mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Selepas Farhadi dibawa pergi oleh pegawai imigresen, Muhammad Shafee dan pembantunya keluar dari bilik mahkamah untuk membincangkan tindakan selanjutnya.
Muhammad Shafee, semasa dihubungi kemudian, memberitahu Bernama bahawa anak guamnya telah ditahan hampir satu setengah tahun di Penjara Sungai Buloh dan Jabatan Imigresen sepatutnya telah menyelesaikan siasatan dan mendakwanya sekiranya sebarang kesalahan telah dilakukan.
Peguam itu berkata beliau akan menghantar notis tuntutan kepada Jabatan Imigresen supaya anak guamnya dibebaskan dengan segera.
Pada 11 November tahun lepas, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk Kementerian Dalam Negeri mengekstradisi Farhadi ke AS.
Farhadi dikehendaki pihak berkuasa AS bagi lebih 30 pertuduhan melanggar sekatan perdagangan terhadap Iran, menipu dan menyeludup barangan di Northern District di California.
Dalam prosiding hari ini, semasa membenarkan permohonan habeas corpus itu, Kamardin memutuskan perintah dikeluarkan oleh mahkamah lebih rendah dan waran komital dikeluarkan mengikut Seksyen 20 Akta Ekstradisi 1992 tidak dilaksanakan mengikut undang-undang yang betul.
Beliau berkata kesalahan berkaitan yang dikemukakan terhadap pemohon gagal memenuhi prinsip utama peraturan jenayah berganda dan ianya bukan kesalahan untuk ekstradisi.
"Pemohon telah berjaya menunjukkan kecacatan dan kepincangan di pihak responden dan Hakim Mahkamah Sesyen dalam mengguna pakai undang-undang dan prosedur dalam mengendalikan kes ini," kata Kamardin dalam penghakiman 16 muka surat.
Beliau memerintahkan perintah penahanan pemohon di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan perintah untuk ekstradisi diketepikan dan pemohon dibebaskan serta merta.
- Bernama

