Shukur: Lebih baik tumpu S'gor dari pemilihan Umno
Hanya lima cawangan Umno Bahagian Selayang telah mengadakan Mesyuarat Agung semasa Ramadan manakala baki 140 cawangan akan bermesyuarat selepas Aidilftri, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Abdul Shukur Idrus.
"Kebanyakan cawangan memilih musim hari raya untuk mengadakan Mesyuarat Agung kerana boleh menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri cawangan mereka serentak," katanya pada majlis mengacau dodol Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, di Tasik Biru di Kuang malam tadi.
Abdul Shukur ( kiri ) yang juga Ketua Umno Bahagian Selayang berkata setiap cawangan akan diberikan RM500 bagi mengadakan mesyuarat agung masing-masing.
Sejumlah 2,333 cawangan Umno di seluruh Selangor dijadualkan mula bermesyuarat mulai 15 Julai lepas sehingga 31 Ogos.
Ditanya sama ada terdapat pemimpin Umno Selangor bertanding dalam pemilihan anggota Majlis Tertinggi parti kali ini, beliau berkata:"Setakat ini, saya belum dengar secara rasmi pemimpin Umno Selangor menawar diri bertanding sebagai calon anggota Majlis Tertinggi".
Bagaimanapun secara peribadi, Abdul Shukur berpendapat adalah lebih wajar sekiranya Umno Selangor menumpukan perhatian bagi merampas semula Selangor dari genggaman kerajaan pakatan rakyat.
"Rakyat Selangor perlu mendapat pembelaan kerana dasar negeri di bawah Pakatan Rakyat telah berubah di mana anak syarikat seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) lebih menumpukan kepada mengaut keuntungan dan kurang memberi tumpuan kepada pembinaan rumah-rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah," katanya.
Sebanyak 50 kawah dodol disediakan kali ini dengan setiap satunya dikendalikan lima orang terdiri daripada wakil penduduk, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, yang mula mengacau dari 9 malam hingga 3 pagi tadi.
- Bernama

