Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengambil pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi memberi laluan kepada golongan baharu pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau berkata keputusan itu adalah sejajar dengan perubahan semasa yang turut diterjemah menerusi mesej rakyat pada pilihan raya umum Mei lepas.

"Kita perlu mengambil kira bahawa dunia telah berubah dan keputusan pilihan raya adalah mesej daripada rakyat, mereka mahukan pembaharuan.

"Dalam konteks pembaharuan, Umno memerlukan golongan baharu untuk berada dalam kepimpinan parti yang membawa kewibawaan, idea dan kompetensi baharu," katanya ketika ditemui pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Sungai Rokam di Ipoh hari ini.

Ahmad Husni, yang juga anggota Parlimen Tambun, berkata beliau akan lebih menumpukan kepada kementerian yang diterajuinya memandangkan suasana ekonomi serta kewangan semakin mencabar.

"Krisis ekonomi global tidak menunjukkan ia akan berakhir dalam masa terdekat, jadi kita perlu memastikan struktur kewangan negara di bawah kepimpinan kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Katanya usaha mengukuhkan struktur kewangan akan melonjak kekuatan ekonomi  domestik yang akan meletakkan negara pada landasan betul dalam mencapai pertumbuhan yang disasarkan.

Beliau menyertai Umno pada 1983 sebagai anggota Pergerakan Pemuda Bahagian Menglembu dan pernah berada dalam barisan Exco Pemuda Umno pada 1987 sehingga 1993 sebelum menjadi Ketua Umno Bahagian Tambun.

Pada 2009 beliau bertanding jawatan MT dan mendapat 1,529 undi dan dilantik sebagai Bendahari Umno.

- Bernama

ADS