Kaherah bagai zon perang, 43 nyawa terkorban
Sekurang-kurangnya 43 orang terkorban dalam operasi pembersihan pihak berkuasa ke atas kem duduk bantah penyokong pro-Morsi di Kaherah petang ini, lapor AFP .
Operasi tersebut masih yang berlangsung di dua lokasi duduk bantah iaitu Dataran Nahda dan berhampiran Masjid Rabaa al-Adawiya masih lagi berterusan dan koresponden agensi berita yang membuat liputan menyifatkannya seperti zon perang.
Agensi berita terbesar Mesir, Ahram Online melaporkan pihak berkuasa berjaya membersihkan sepenuhnya salah satu daripada kem tersebut.
Menurut Ahram Online , dua orang polis mati dan enam lain cedera sementara Ikhwanul Muslimin pula mendakwa angka korban sehingga kini telah mencecah 121 orang.
Sementara itu CNN melaporkan menteri dalam negeri Mesir berkata pasukan keselamatan tidak melepaskan sebarang peluru hidup dan mereka "komited dalam menahan diri" berbuat demikian walaupun berhadapan serangan dari "unsur pengganas" peserta duduk bantah.
Sehingga berita ini ditulis lewat petang ini, Kementerian Kesihatan Mesir mengumumkan 15 orang peserta duduk bantah maut dan 203 lagi cedera, lapor CNN.
Semua khidmat keretapi ke bandar Kaherah juga telah dihentikan dan jalan menuju ke kawasan kem berhampiran Masjid Rabaa ditutup.
Ikhwanul Muslimin mendakwa langkah itu diambil kerajaan bagi menghalang lebih ramai pengikut pertubuhan itu bergerak masuk ke bandar Kaherah.

