PM tidak perlu beri keterangan: Ariffin Jaka
Hakim Mahkamah Tinggi Arifin Jaka pagi ini memutuskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak perlu memberikan keterangan dalam perbicaraan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya memutuskan bahawa pihak pembela gagal meyakinkan mahkamah sejauh mana relevan bukti-bukti yang boleh diberikan oleh Dr Mahathir kepada peguam bela. Maka, sapina yang dikenakan kepada Dr Mahathir dibatalkan dan saya memutuskan bahawa beliau tidak perlu hadir di mahkamah untuk memberikan keterangan bagi pihak peguambela," kata Arifin.
Sebahagian daripada mereka hadir di galeri awam memberikan reaksi yang negatif terhadap keputusan itu.
Hakim itu menambah, tiada bukti yang menunjukkan Perdana Menteri terlibat dalam konspirasi untuk mereka-rekakan bukti liwat terhadap Anwar sebagaimana yang didakwa oleh pihak peguam bela.
"Tiada satu bukti pun yang diberikan oleh saksi-saksi yang dapat menunjukkan Dr Mahathir terlibat dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar. Saya menganggap Dr Mahathir seperti rakyat biasa tanpa sebarang keistimewaan. Tetapi dalam keadaan ini (penggulungan peguam bela), tiada gunanya memanggil Perdana Menteri untuk memberikan keterangan di mahkamah," kata Arifin.
Sejurus selepas hakim selesai membacakan keputusannya, Anwar bangun dari kandang tertuduh dan berkata, "Si gagah perkasa (Mahathir) yang mengaum seperti singa dengan tidak semena-mena kecut dan lari bagaikan seekor tikus, rungsing dan gelabah memikirkan kemungkinan disoal oleh peguam-peguam saya."
Hakim lalu berkata, "Saya tidak akan mendengar cakapya (Anwar)"
Mahkamah kemudiannya tangguh selama hampir satu jam. Anwar yang memakai baju biru muda berlengan panjang kelihatan berbincang dengan peguam-peguam beliau.
Apabila mahkamah bersambung, Karpal Singh memberitahu hakim bahawa Anwar dan adik angkatnya, Sukma Dermawan ingin memikirkan semula apa yang perlu dilakukan selepas (keputusan hakim) itu.
(Mahkamah diberitahu pada hari Rabu lalu bahawa saksi-saksi pembelaan yang lain, termasuk Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Megat Junid Megat Ayob dan isteri beliau Ziela Jalil, hanya akan dipanggil sekiranya Dr. Mahathir memberikan keterangan dalam perbicaraan itu.)
"Apa yang dikesali adalah tiada rayuan terhadap keputusan yang telah dibuat," kata Karpal.
Arifin membalas dengan berkata, "Saya tidak boleh menimbangkan semula keputusan saya, tetapi saya boleh memberikan anda (Karpal) masa untuk menimbangkan bagaimana anda hendak menyambung (hujah) dari (keputusan) itu. Saya tidak tergesa-gesa dan saya juga tidak ingin anda tergesa-gesa."
Ketika ini, peguam bela Christopher Fernando berdiri dan berkata Anwar ingin memikirkan perkara itu secara teliti dan akan kembali ke mahkamah pada Isnin ini untuk memberikan arahan akhir kepada peguam-peguamnya sama ada Anwar ingin menyambung atau menggugurkan sahaja perbicaraan itu.
"Saya telah berunding dengan anak guam saya yang menyatakan bahawa keyakinan beliau terhadap sistem pentadbiran kehakiman telah terhakis sama sekali. Beliau berasa sangat kecewa dan saya akan menasihatinya," kata Fernando.
Arifin mencelah dan memberitahu Fernando, "Tiada gunanya anda memberitahu saya perkara ini. Ia adalah antara anda dan anak guam anda."
Sebagai balasan, Fernando memberitahu hakim supaya membenarkannya menghabiskan apa yang ingin diperkatakannya.
"Reaksi langsung anak guaman saya buat masa ini adalah untuk menggugurkan perbicaraan ini kerana beliau menganggap peluang beliau untuk memenangi perbicaraan ini adalah hampir sifar. Namun, dalam apa-apa perkara sekali pun, beliau menerima nasihat saya untuk memikirkan semula perkara tersebut secara cermat hujung minggu ini. Memandangkan perkara ini, kami ingin menangguhkan perbicaraan sehingga Isnin," tambah Fernando.
Bagaimanapun, perbicaraan akan bersambung pada Rabu depan seperti yang diminta oleh pihak pembela kemudiannya setelah berunding dengan Anwar.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.