BERITA

Jangan bertindak berlebihan, kata Nooh Gadut

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Ogs 2013, 11:48 tengahari

Penasihat Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut menghargai permohonan maaf Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K Sri Dhammaratana Nayake atas tindakan sekumpulan penganut agama itu dari Singapura mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Sabtu lepas.

"Saya ingin mengucapkan penghargaan dan rasa bangga saya terhadap tindakan beliau memohon maaf kepada umat Islam di negara ini semalam. Tindakan ini merupakan suatu langkah yang amat terpuji walaupun beliau sendiri tidak mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh warga asing itu.

Justeru, saya minta seluruh masayarakat Islam menerima permohonan maaf ini serta jaminan bahawa kejadian itu tidak akan berulang, katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, anggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid menyifatkan permohonan maaf itu menggambarkan keprihatinan Ketua Sami Buddha itu terhadap sensitiviti masyarakat Islam negara ini.

Pada masa sama, beliau juga mahukan semua pihak tidak bersikap berlebih-lebihan di dalam reaksi mereka mengenai insiden surau itu sehingga menenggelamkan potensi industri pelancongan.

"Jika pengusaha resort terbabit bersalah, ambil tindakan, yang salah tetap bersalah tetapi janganlah 'berlebih-lebihan', katanya.

Berikutan kejadian itu, pemilik resort berusia berusia 45 tahun direman empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan.

Dia disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat ibadat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Sementara itu di Melaka, ahli majlis tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencadangkan pihak berkuasa untuk menarik balik taraf penduduk tetap Malaysia daripada pemilik resort warga Singapura itu.

Dalam kenyataannya, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata di samping itu individu itu harus dilarang daripada memasuki negara ini di masa akan datang sebagai anasir yang tidak dingini.

Beliau berkata tindakan itu sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mengulangi perkara yang sama.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.