Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam memberikan reaksi positif terhadap spekulasi bahawa beliau akan mencabar penyandang Datuk Seri G. Palanivel dalam pemilihan jawatan presiden MIC, 22 September ini.

    

Enggan menafi atau mengesahkan spekulasi itu, timbalan presiden parti itu ketika ditanya mengenai isu itu, beliau secara ringkas hanya menjawab: "Di mana sahaja saya pergi, tiada siapa yang berkata tidak kepada saya."

Dr Subramaniam, yang juga menteri kesihatan, berkata beliau akan mengumumkan keputusan muktamad mengenai pendiriannya dalam masa terdekat.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku perubatan herba dalam bahasa Tamil yang pertama kali diterbitkan dalam negara tulisan tabib Siddha tempatan, Dr M.S Chelliah di ibunegara.

    

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC telah menetapkan 1 September ini sebagai tarikh penamaan calon presiden dan sekiranya ada pertandingan, maka pengundian akan dijalankan pada 22 September ini.

    

Pertandingan untuk jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC akan diadakan pada bulan November atau Disember ini.

Sementara itu, bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu enggan memberi sebarang komen berhubung pemilihan jawatan tertinggi parti itu September ini.

    

Menganggap dirinya kini hanyalah anggota biasa, bekas presiden paling lama MIC itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada anggota dan pemimpin parti untuk membuat keputusan.

    

"Saya tak mahu komen apa-apa tentang MIC kerana saya percaya masanya tidak sesuai untuk membuat apa-apa kenyataan. Saya tunggu sahaja siapa jadi calon dan siapa yang menang," katanya selepas melancarkan biografi tokoh veteran MIC dan aktivis sosial Tan Sri Devaki Krishnan bertajuk 'Tan Sri Devaki Krishnan: With Elegance and Commitment' di ibunegara semalam.

    

Biografi setebal 192 halaman itu, antara lain, menceritakan kisah hidup dan penglibatan Devaki dalam aktiviti berpersatuan serta perjuangannya bersama MIC.

    

Bahang pemilihan jawatan presiden pada 22 September ini bertambah hangat apabila Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam memberi reaksi positif berhubung spekulasi yang beliau akan bertanding merebut jawatan itu.

    

- Bernama