JK tokong diminta tiada persembahan menjolok mata
Jawatankuasa tokong yang menganjurkan sambutan Perayaan Hantu Lapar (Phor Tor) di Pulau Pinang pada tahun ini dinasihati mengadakan persembahan opera dan boneka Cina, bukan persembahan melibatkan wanita berpakaian menyolok mata.
Pengerusi Persatuan Teong Guan Pulau Pinang Khor Kai Keng berkata dewa Tai Su Yeah tidak suka kepada penyanyi berpakaian menyolok mata.
Katanya opera tradisional Cina adalah lebih sesuai diadakan kerana sebagai Tapak Warisan Dunia, George Town menarik ramai pelancong setiap tahun.
"Opera tradisional ini selalunya mengandungi nilai moral dalam penceritaannya, yang sesuai untuk kanak-kanak, lebih-lebih lagi semasa cuti sekolah sekarang," katanya apabila dihubungi Bernama hari ini.
Perayaan itu, yang bermula Rabu lepas, disambut pada bulan ketujuh dalam kalendar Cina oleh kebanyakan masyarakat Cina di selatan China, Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Taiwan.
Persatuan itu adalah penganjur utama Perayaan Hantu Lapar di Pulau Pinang dan menyelia kira-kira 280 jawatankuasa Phor Tor di negeri ini.
Masyarakat Cina percaya pada bulan ini, Pintu Neraka dibuka untuk membolehkan hantu lapar keluar mencari makanan di Bumi.
Pada pertengahan perayaan ini, selalunya pada malam ke-14 atau 15, makanan disediakan dan wang kertas serta gaharu dibakar di luar rumah untuk menenangkan roh nenek moyang mereka agar mereka mendapat nasib yang baik.
Di Pulau Pinang sahaja, lebih 200 jawatankuasa Phor Tor ditubuhkan tahun ini, yang dianggotai pemimpin masyarakat, peniaga dan penduduk dari pelbagai kawasan sempena perayaan itu.
- Bernama

