Ketua Umno Penampang Datuk John Ambrose mencadangkan agar Perlembagaan Umno dipinda bagi memberi kuasa kepada presiden parti melantik tiga naib presiden Umno - menjadi enam kesemuanya, termasuk tiga yang dipilih melalui proses pengundian atau pemilihan parti.

"Umno kini menjadi parti yang besar dengan keanggotaannya menjangkau angka juta. Di samping itu cabaran kita dalam pilihan raya umum ke-14 juga amat mencabar.

    

"Sebab itu, kita memerlukan lebih ramai leftenan (naib presiden) bagi membantu jeneral (presiden Umno atau Perdana Menteri) menghadapi cabaran PRU14.

"Ini bukan sesuatu yang baru kerana parti komponen BN yang lain pun ada yang mempunyai peruntukan perlembagaan seumpama ini," katanya.

    

Beliau bercakap kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri ketua pemuda Umno Penampang Hafiz Sua Abdullah di Penampang semalam.

    

John berkata dengan kuasa presiden melantik tiga naib presiden diyakini dapat mengurangkan pergeseran politik untuk merebut tiga lagi jawatan naib presiden melalui proses pemilihan parti.

    

Sementara itu, beliau berkata Umno Penampang memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin  dan berharap tiada pertandingan untuk kedua-dua jawatan tertinggi parti itu.

    

Katanya, Umno Penampang menyokong penuh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman jika pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah itu bertanding untuk jawatan naib presiden pada pemilihan parti kali ini.  

- Bernama