Badie, pemimpin tertinggi Ikhwan ditangkap
Pihak berkuasa Mesir mempertingkat tindakan tegas terhadap penyokong presiden yang digulingkan Mohamed Mursi dengan menahan pemimpin tertinggi kumpulan Islamis Ikhwanul Muslimin, lapor media milik negara pada Selasa.
Mohamed Badie, 70, ditahan di rumahnya di Bandar Nasr di Utara Kaherah "selepas pihak keselamatan mendapat maklumat tempat persembunyiannya", lapor agensi berita negara itu.
Facebook milik Kementerian Dalam Negeri memuatkan gambar Badie di dalam kereta bersama dua lelaki dengan baju kalis peluru berwarna hitam, dengan kapsyen pengesahan tangkapan.
Kapsyen itu menyebut, dengan keputusan pendakwa raya untuk untuk menahannya dan melalui maklumat dan pemerhatian terhadap pergerakan itu, ia membolehkan penahanan dibuat bawah arahan perkhidmatan keselamatan Kaherah.
Badie didakwa pada Julai atas tuduhan menghasut pembunuhan. Bersama dua timbalannya, mereka akan dibicarakan pada 25 Ogos.
Tentera menggulingkan Mursi daripada tampuk kekuasaan pada 3 Julai selepas tunjuk perasaan besar-besaran terhadap pentadbirannya.
Mursi, presiden yang dipilih rakyat dalam pilihan raya yang bebas kini ditahan di sebuah tempat yang dirahsiakan.
- Reuters

