ULASAN Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak kerajaan Malaysia agar tidak menaikkan sebarang kadar tarif elektrik buat masa ini.
Kenaikan kos bahan api menjadi alasan utama kepada semakan dan kenaikan tarif elektrik.
Walaupun Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan keyakinan bahawa ia tidak akan membebankan pengguna, namun alasan tersebut sudah lapuk dan seolah-olah ingin melepas diri.
Alasan presiden TNB bahawa pengguna dengan penggunaan bulanan di bawah 200kWj tidak terjejas merupakan alasan yang tidak bertanggungjawab.
Rakyat di Malaysia bukan hanya pengguna elektrik secara domestik sahaja. Negara Malaysia yang merupakan sebuah negara yang membangun yang mempunyai kilang-kilang perindustrian yang banyak sudah tentu merupakan pengguna elektrik yang besar.
Apabila kadar tarif elektrik naik, secara sifirnya, sudah tentulah kos perindustrian menjadi meningkat. Dan kesannya tentulah kepada rakyat Malaysia kerana harga barang menjadi naik.
Inilah yang merunsingkan rakyat Malaysia. Bagilah alasan apa pun, yang pasti kesannya adalah kepada rakyat. Rakyat yang terpaksa menanggung bebannya.
Di balik 'menampung kos operasi'
Siapakah yang mendapat keuntungan dari kenaikan tarif elektrik ini? Sudah pastilah cukong-cukong pengeluar tenaga bebas (IPP) yang dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Rakyat Malaysia masih lagi di dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri. Amat malang sekali apabila kegembiraan ini tercalar dengan kenaikan kadar tarif elektrik yang pastinya akan menambahkan lagi batu bebanan yang digalas penduduk Malaysia kini.
Kerajaan Malaysia perlulah menyemak semula perjanjian dengan IPP ini. Perjanjian berat sebelah ini sesungguhnya tidak menguntungkan rakyat mahupun di pihak kerajaan.
Malah, ia memberikan hasil yang semakin lumayan kepada pemilik-pemilik IPP ini. Sampai bilakah kerajaan harus membela cukong-cukong ini yang diibaratkan sebagai lintah darat ini?
Mengapakah kerajaan seolah-olah takut untuk menamatkan perjanjian berat sebelah ini?
DPPWP melihat ini sebagai satu lagi hadiah buat kerajaan Umno/BN kepada semua rakyat Malaysia selepas kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13.
Tidak hairanlah jika selepas ini, terdapat banyak lagi kenaikan demi kenaikan di sebalik nama 'menampung kos operasi'.
Slogan rakyat didahulukan semakin tidak mendapat tempat lagi di hati rakyat apabila rakyat terpaksa mendahulukan semua kepentingan pemimpin Umno/BN. Maka, apa lagi yang boleh diharapkan daripada Umno/BN!
KAMARUZAMAN MOHAMAD ketua Pemuda PAS WP.