Mahkamah p'raya: Ejen PKR dakwa kertas undi dikira sekali
Mahkamah Pilihan Raya hari ini diberitahu oleh seorang ejen mengundi PKR bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, Ainin Akon bahawa ketua tempat mengundi di saluran mengundi tempat beliau bertugas membuat pengiraan undi sekali sahaja pada pilihan raya umum ke-13 lepas.
Baginya kertas undi perlu dikira dua atau tiga kali, tetapi ketua tempat mengundi di saluran mengundi di Sekolah Kebangsaan Indaraon Laut, berkata tidak perlu.
“Saya ada membuat bantahan. (Tetapi) KTM (ketua tempat mengundi) berkata tidak payah kira (kertas undi) lagi kerana kotak undi akan dibawa ke Dewan Masyarakat Kota Marudu. Di sana akan kira lagi,” katanya.
Ainin memberi keterangan di mahkamah itu yang mendengar petisyen pilihan raya terhadap kerusi Parlimen Kota Marudu pada PRU13.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak diberikan salinan Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan bilangan undi rosak.
“Saya sepatutnya diberikan salinan Borang 14. Tetapi KTM tidak menyerahkan salinan borang kepada saya dan KTM berkata telah diberi arahan oleh pegawai pengurus supaya tidak mengedarkan Borang 14 kepada sesiapa,” katanya.
Dalam petisyen itu, calon PKR Datuk Maijol Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada 13 Ogos lepas, Hakim Datuk Yew Jen Kee memutuskan supaya dakwaan amalan rasuah terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu, tetapi Ongkili kekal sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan.
Dalam petisyen itu, antara lain, Mahap mendakwa Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon serta bilangan undi rosak, tidak diberi kepada ejen pilihan raya PKR.
Ongkili, yang mewakili Barisan Nasional, memenangi kerusi itu dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru manakala Mahap meraih 14,326 undi, calon Star Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi.
- Bernama

