Malaysia Airlines (MAS) yakin pelan pemulihan perniagaannya akan mengembalikan kumpulan itu ke landasan untuk mencatatkan keuntungan menjelang akhir 2014, dengan dirangsang oleh langkah-langkah meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya berkata, syarikat penerbangan nasional itu telah mula mengurangkan kerugian dan berupaya mencatatkan keuntungan kendalian.  

    

NONE MAS mencatatkan keuntungan kendalian sebanyak RM8 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2013, daripada kerugian kendalian sebanyak RM102 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

    

"Keseluruhannya, kami berpuas hati dengan (prestasi) suku ke-2 kerana enam bulan pertama biasanya mencabar dan secara tradisinya kami mencapai prestasi yang lebih baik dalam enam bulan kedua. Suku ke-2 2013 adalah suku keempat kami mencapai pengaliran masuk tunai positif dan suku ke-3 adalah titik pemulihan bagi keuntungan.

    

"Dulu kami jatuh menjunam dan mengalami kerugian RM5 juta sehari. Sekarang

 

kami telah memperbaiki imbangan tunai kepada RM5.5 bilion dan nisbah gearan bersih sekarang ialah 1.3 kali; dulu, lebih daripada enam," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

    

Ahmad Jauhari berkata lalulintas keseluruhan MAS meningkat 30 peratus manakala tempahan tempat duduk mencatatkan rekod dengan lonjakan kepada 80 peratus.  

    

Jun 2013 menyaksikan faktor muatan tempat duduk bulanan paling tinggi dalam sejarah, sebanyak 84.3 peratus, katanya.

    

Ahmad Jauhari berkata pelan perniagaan itu, yang kini telah separuh dilaksanakan, menyaksikan kumpulan itu mengecilkan rangkaiannya dengan pelan pembiayaan menyeluruh dan inisiatif pendapatan seperti memberikan tumpuan semula kepada matlamat pendapatan komersial, tumpuan kepada pendapatan sampingan dan

 menambah pendapatan sekutu global.

    

MAS juga melaksanakan tumpuan berterusan kepada kos dengan memastikan gabungan pesawat yang sesuai, menambah penerbangan untuk menggalakkan penggunaan, mengurangkan penyumberan luar dan meningkatkan produktiviti.

    

"Sebanyak 50 peratus kos kami adalah bukan bahan api," Ahmad Jauhari.  

    

Mengulas tentang komen penganalisis yang tidak yakin pelan pemulihan itu akan berjaya memandangkan hasil MAS yang semakin merosot, Ahmad Jauhari berkata: "Apa yang lebih penting ialah mencapai keuntungan yang berterusan.

    

Mengenai program pembaharuan kumpulan pesawat, Ahmad Jauhari berkata syarikat itu akan mengumumkan rancangannya menjelang akhir tahun.

    

Pada masa ini, kumpulan itu mempunyai 146 pesawat, dan daripada jumlah ini, 82 adalah bagi penerbangan MAS, yang beroperasi di 60 negara.

    

- Bernama