Isteri kepada seorang daripada mangsa yang maut dalam kejadian nahas bas di Genting Highlands kelmarin berasa tidak sedap hati apabila suaminya gagal dihubungi.

    

Warga Indonesia, Jamaliah Suki, 35, pekerja dobi di sebuah hotel di pusat peranginan itu, berkata kebiasaannya suaminya, Ahmad Busairi, 41, akan menjemputnya pukul 8 malam setiap hari, namun tidak berbuat demikian malam kelmarin.

    

"Saya hubungi telefon bimbitnya tetapi tidak berjawab. Saya rasa tak sedap hati risau tentang dirinya sehinggalah kawan saya beritahu satu kemalangan bas berlaku di kawasan kami (Genting Highlands)," katanya kepada Bernama di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Jamaliah, yang berasal dari Jawa Timur dan telah tinggal di negara ini sejak dua tahun lepas, berkata beliau tidak mengesyaki suaminya, seorang pekerja kontraktror di sebuah hotel di Genting Highlands terlibat dalam kemalangan itu kerana tidak dimaklumkan mengenai pemergian arwah ke ibu negara untuk membeli barangan dapur.  

    

"Namun, sepupu saya kata mungkin kehilangan suami ada kaitan dengan kemalangan itu," katanya.

    

Sehubungan itu, Jamaliah ditemani sepupu dan ibunya pergi ke Hospital Kuala Lumpur untuk memeriksa nama mangsa yang maut dalam kemalangan itu pagi ini.

    

Jamaliah berkata apa yang ditakutinya menjadi kenyataan selepas mendapati suaminya yang telah menetap selama 20 tahun di negara ini, meninggal dunia dalam kemalangan itu.

    

"Saya reda dengan ketentuan ini. Kami memiliki dua anak yang kini tinggal di Jawa Timur. Mereka sudah dimaklumkan tentang kejadian ini dan jenazah suami akan diterbangkan (hari ini) ke sana (Jawa Timur)," katanya.

    

Sementara itu, sepupu Allahyarham, Ahmad Sahur Hasmuni, 29, yang juga rakan sekerjanya berkata Ahmad Busairi menunjukkan kelakuan berlainan sejak tiga hari lepas.  

    

"Pada hari kejadian dia ada beritahu saya, dia mahu ke Kuala Lumpur untuk membeli daging, nak buat makan-makan, yang mana sebelum ini dia tak pernah buat pun. Lepas tu dia cakap, 'Lepas ni aku senang hati, tak ada tanggungan lagi'," katanya.

    

Beliau berkata arwah seorang yang baik hati, selalu membantu rakan-rakan dalam semua perkara dan rajin mengumpul duit.

- Bernama