Mahkamah bebas Azilah, Sirul dari tuduhan bunuh Altantuya

       

Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.

Bagaimanapun, pihak pendakwa akan mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini.

altantuya trial 160707 azilah Hakim Datuk Md Apandi Ali mengetuai panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut.

Bagaimanapun, penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan mereka.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah (kiri) berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Seorang lagi anggota panel hakim tersebut ialah Datuk Linton Albert.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Pendakwa akan merayu

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Peguamcara Negara 111, Datuk  Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengetuai pasukan pendakwaraya yang turut dianggota DPP Manoj Kurup dan Noorin Badaruddin.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Menurut peguam, kedua-dua tertuduh mungkin dibebaskan dari penjara Sungai Buloh lewat hari ini.

Dalam mesej teks, Tun Majid berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Tengku Maimun berkata mengenai alibi pembelaan Azilah Hadri, mahkamah tidak menemui mana-mana dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan yang beliau telah menimbangkan sama ada diari stesen menunjukkan atau cenderung menunjukkan tentang kehadiran Azilah pada masa berkenaan dan dia tidak akan boleh atau tidak mungkin berada di tempat kejadian jenayah.

Suasana di mahkamah senyap seketika semasa hakim menyampaikan penghakiman sementara Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan.

    

"Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat. Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini," kata Hakim Tengku Maimun.

    

Kedua-duanya disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

    

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

    

Sebagai langkah segera, pihak pendakwa diketuai Peguam Cara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu pemberita Pejabat Peguam Negara akan memfailkan rayuan terhadap pembebasan dua anggota polis itu.

    

Dalam penghakiman, mahkamah mengemukakan lapan alasan bagi pembebasan Azilah dan Sirul Azhar.

    

Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin tidak membuat sebarang dapatan mengenai sama ada pihak pendakwa telah membuktikan mengenai kewujudan perancangan awal oleh dua anggota polis itu untuk melakukan pembunuhan dan pembunuhan itu dilakukan rentetan daripada perancangan awal itu.

    

"Dalam penghakiman kami, ketiadaan dapatan sebegitu oleh hakim perbicaraan yang bijaksana mengenai ramuan niat bersama yang membawa kepada penyalaharahan dengan cara tanpa arahan," katanya.

    

Mengenai log panggilan dan ramalan liputan, beliau berkata mahkamah mendapati keterangan oleh tiga saksi daripada beberapa syarikat telekomunikasi telah membawa kepada isu kebolehpercayaan dan ketepatan log panggilan dan ramalan liputan.

Hakim Tengku Maimun berkata amat penting untuk hakim perbicaraan menumpukan pada cabaran dibangkitkan oleh pihak pembelaan mengenai eksibit dan untuk membuat dapatan sama ada terdapat pindaan atau gangguan terhadap data dan sama ada ketulenan data boleh dipersoalkan atau tidak.

   

"Apa yang dikesalkan, hakim mahkamah tinggi gagal berbuat demikian, yang dalam penghakiman kami adalah penyalaharahan yang serius sehingga tidak boleh bergantung kepada eksibit itu yang dikatakan tidak kukuh," kata hakim.

   

Bagi alasan lain, mahkamah memutuskan hakim perbicaraan juga tidak memberi perhatian dan tidak memeriksa sama ada wujud percanggahan dan ketidakkonsistenan keterangan saksi-saksi pendakwa.

   

Katanya hakim perbicaraan juga tidak memeriksa kredibiliti saksi-saksi pendakwa dan tidak memberi perhatian sama ada Azilah dan Sirul Azhar telah menimbulkan keraguan mengenai ketepatan kenyataan mereka mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

   

Hakim Tengku Maimun juga berkata hakim perbicaraan tidak memikirkan sama ada penemuan tempat jenayah dan barangan kemas si mati adalah hasil daripada maklumat diberikan oleh dua anggota polis itu dan bukannya daripada sumber lain.

   

Beliau berkata mahkamah mendapati berlaku keadaan tanpa arah oleh hakim perbicaraan apabila gagal menilai keterangan sebelum menerima kenyataan itu mengikut Seksyen 27.   

Bagi alasan lain, Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan untuk menunjukkan sebarang kaitan antara selipar dengan kesan darah Altantuya yang ditemui dalam jip Sirul Azhar, dengan beliau (Sirul Azhar).

   

Beliau berkata pihak pendakwa tidak menutup jurang dalam kesnya dalam isu itu.

   

Serupa juga, kata hakim, dengan katrij yang ditemui dalam kereta Sirul Azhar yang merupakan tertuduh kedua, mahkamah mendapati wujud jurang dalam kes pendakwa di mana hakim perbicaraan gagal memberikan perhatian.

   

Akhir sekali, mahkamah memutuskan kegagalan pihak pendakwa memanggil atau menawarkan pemeriksaan balas ke atas DSP Musa Safri yang ketika itu pengawal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin mencetuskan inferens berbeza di bawah Seksyen 114 (g) Akta Keterangan, terhadap pihak pendakwa.

   

"Ingin dinyatakan, dengan tidak memanggil DSP Musa, mengenai fakta kes ini, sedangkan keterangan DSP Musa amat penting untuk mendedahkan naratif bahawa kes pendakwa berdasarkan apa," kata hakim.

 

Malaysiakini
terkini untuk anda