Ketua Wanita Umno Selangor Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah berkata pergerakan itu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk kekal mengetuai sayap parti tersebut.

Raja Ropiah Raja Abdullah dalam satu laporan Sinar Harian berkata, perkara itu diputuskan oleh semua yang hadir dalam mesyuarat perhubungan negeri Wanita Umno.

Raja Ropiah berkata, keputusan itu juga dicapai berdasarkan prestasi Shahrizat yang cemerlang semasa memegang jawatan ketua Wanita termasuk berjaya menampilkan lebih ramai calon wanita pada pilihan raya umum yang lalu.

Katanya, Shahrizat juga berjaya membawa pembaharuan dan perubahan dalam melaksanakan janjinya dengan menubuhkan Skuad Syang Wanita Umno bagi mendekati masyarakat.

"Dalam semua aspek saya tidak nampak ada (calon lain) yang menyerlah berbanding Shahrizat," katanya seperti dipetik akhbar tersebut.