ULASAN Malaysia berjaya menjadi juara dalam carta obesiti negara-negara di Asia Tenggara dan berada pada kedudukan keenam Asia!
Dalam keadaan Malaysia perlu menghadapi realiti yang menyakitkan ini, kami di Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyambut dengan sokongan sepenuh hati sebarang baik kerajaan untuk mengatasi masalah ini.
Melalui Ikrar Pengiklanan Bertanggungjawab yang dimeterai dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA) dan Persekutuan Pengeluar Malaysia (FMM) Bahagian Pengeluaran Makanan, sepuluh syarikat yang mengeluarkan makanan dan minuman bersetuju tidak mengiklankan produk mereka melalui media elektronik dan media cetak.
Iklan itu, terutamanya yang mensasarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.
Tindakan ini kelihatan seperti satu usaha yang murni apabila badan kerajaan bekerjasama dengan syarikat-syarikat ini untuk melindungi kanak-kanak daripada pengiklanan yang tidak bertanggungjawab.
Berdasarkan ikrar yang ditandatangani, syarikat-syarikat yang terlibat tidak akan mengiklankan produk mereka yang tidak memenuhi garis panduan nutrisi seimbang antarabangsa dan piawaian keselamatan.
Mereka juga komited untuk tidak terlibat dalam sebarang promosi di sekolah-sekolah, kecuali atas jemputan sekolah dengan tujuan pendidikan. Tujuan pendidikan yang bagaimana?
Pendidikan kesihatan di sekolah-sekolah tidak patut dicemari dengan sebarang unsur-unsur perniagaan dan memberi kepentingan kepada syarikat-syarikat terbabit.
Jika pendidikan untuk pemilihan makanan berkhasiat, pasti ada organisasi yang lebih berkredibeliti untuk menjalankan tugas ini, iaitu bahagian pendidikan dalam Kementerian Kesihatan sendiri.
Kami mengharapkan lebih daripada sekadar ikrar, iaitu penggubalan polisi dan undang-undang tegas untuk melindungi kanak-kanak daripada pengiklanan yang menjadikan mereka sebagai sasaran.
Kami mendapati usaha ini ada sedikit kelompongan - tiada maklumat berkenaan dengan mekanisme pelaksanaan dan pihak yang bakal melakukan pemantauan.
Tiada salahnya juga, menyekat terus publisiti melalui media, sepertimana yang dilaksanakan di Norway, Sweden, UK, Belgium, Greece dan Denmark.
Tegas, sepenuh hati & menyeluruh
Sweden dan Norway telah menyekat penyiaran iklan mensasarkan kanak-kanak bawah umur 12 tahun kerana mereka tidak dapat memahami mesej-mesej pengiklanan dan berkemungkinan menerima mesej pengiklanan sebagai tepat, benar dan tidak bias.
Malaysia juga telah mengambil tindakan yang hampir sama pada tahun 2011 dengan menyekat iklan makanan segera dan yang tidak menyihatkan, pada waktu-waktu yang menjadi pilihan kanak-kanak menonton rancangan televisyen.
Syarikat makanan segera juga tidak boleh memberi tajaan untuk rancangan kanak-kanak.
Di sebalik usaha ini, satu persoalan harus difikirkan semula - adakah kanak-kanak tidak menonton iklan-iklan ini di waktu lain siaran televisyen?
Usaha untuk menyekat pengiklanan di televisyen ini baik, tetapi kurang berkesan. Kanak-kanak bawah umur 12 tahun patut dlindungi daripada menjadi mangsa pengiklan yang tidak bertanggungjawab.
Kita patut mencontohi Sweden dan Norway yang menyekat terus semua usaha pengiklanan yang mensasarkan kank-kanak. Sekatan tersebut termasuklah melalui usaha pengiklanan di surat khabar, radio, majalah, papan iklan dan Internet.
Kerajaan juga perlu melarang penggunaan khidmat selebriti, ahli sukan dan karakter kartun untuk mempromosikan produk-produk yang tidak memanfaatkan kesihatan.
Pelaksanaan di peringkat mikro
Sejak tahun 1980-an, CAP konsisten dengan pendirian tiada mesin layan diri (vending machine) yang mempromosikan minuman yang tinggi kandungan gula dan berkarbonat disediakan di sekolah-sekolah.
Kami juga sedar bahawa kawasan sekolah menjadi pusat lambakan makanan rapu, makanan segera, minuman yang mengandungi pewarna tiruan, pemanis tiruan, dan bahan pengawet yang membahayakan.
Adakah Kementerian Kesihatan ada membuat pemantauan di sekolah-sekolah seperti mana kempen susu kotak yang dipromosikan kerajaan di sekolah-sekolah?
Kami berharap kerajaan juga peka dengan usaha untuk menggalakkan sekolah menyediakan buah-buahan segar (terutamanya buah-buahan tempatan), hidangan berasaskan sayur-sayuran, jus buah-buahan asli dan pastikan para pelajar peka dalam pemilihan makanan. Kami maksudkan: Makanan!.
Ibu bapa turut bertanggungjawab untuk menyelamatkan anak-anak daripada terperangkap dalam budaya makan kerana iklan.
Kami faham, ada masanya ibu bapa menuruti kehendak anak-anak sebagai tukar ganti dengan masa terhad yang mereka dapat luangkan dengan anak-anak.
Namun, ibu bapa juga harus sedar yang anak-anak mereka tidak memahami kaedah pemujukan di dalam iklan.
Selalunya, produk yang mensasarkan kanak-kanak ialah gula-gula, bijirin yang tinggi kandungan gula, minuman berkarbonat dan makanan segera.
Iklan-iklan ini mampu mempengaruhi tabiat makan yang tidak sihat untuk sepanjang hayat.
Jika ada iklan yang mempromosikan makanan segera atau gula-gula, terangkanlah tujuan pengiklanan dalam bahasa yang paling mudah.
Ajar anak-anak untuk mencintai masakan daripada rumah. Masak, budayakan membawa bekalan makanan daripada rumah ke sekolah, dan biar anak-anak gembira berkongsi bekalan makanan dengan kawan-kawan mereka.
Saranan-saranan ini saling berkait. Pilihan untuk memasak atau membeli makanan segera boleh menceritakan pelbagai realiti; ekonomi, politik dan sosial.
Keputusan untuk terus menayangkan dan menyokong publisiti makanan rapu dan makanan segera atau mempromosikan makanan seimbang, berkhasiat dan selamat juga boleh menceritakan pelbagai perkara - negara pentingkan kesihatan rakyat atau keuntungan syarikat-syarikat perusahaan besar.
SM MOHAMED IDRIS presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
