Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menyeru agar rakyat Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan pada 31 Ogos dengan menolak unsur perkauman dan cauvinis.

Para pemimpin badan tersebut dalam satu kenyataan bersama hari ini menyebut, individu yang menunjukkan sikap seperti itu perlu ditentang demi perpaduan dan keharmonian.

"Kami mengesa semua rakyat Malaysia untuk membentuk satu system undang-undang yang akan memberikan kesaksamaan dan perlindungan yang sama rata di bawah undang-undang untuk kesemua rakyat Malaysia.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia yang aman dan yang cintakan keamanan untuk menolak mereka yang mempunyai unsur perkauman dan cauvinis agama dalam pertuturan dan tindakan mereka.

“Kita perlu menentang dengan aktif semua yang menerap ketakutan dan kebencian terhadap orang lain atas dasar bangsa dan agama demi kepentingan dan kelebihan politik tertentu,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pertentangan yang timbul dalam isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam kitab terjemahan Bible dalam bahasa Melayu.

Gereja Katholik pada 22 Ogos lalu gagal mengetepikan rayuan kerajaan berhubung pengggunaan kalimah Allah berkenaan.

Kenyataan CFM itu seterusnya menyebut, rakyat Malaysia perlu terus menunjukkan sikap saling hormat-menghormati dan menjaga maruah serta hak asasi sesama mereka.

“(Kita perlu) menunjukkan kesemua ini melalui keberanian untuk bersuara menentang ketidakadilan dan semua jenis ekstremisme.

“Marilah kita mempertingkatkan kesedaran kita dan pertimbangan kita bagi orang lain yang hidup di sekeliling kita dan melayani semua orang dengan kasih sayang, maruah dan hormat kerana kita semua (makhluk) Tuhan,” kenyataan itu dipetik.

Ia ditandatangai oleh pengerusinya, Eu Hong Seng, serta tiga naib pengerusinya: Antony Selvanayagam, Datuk Jerry Dusing dan Philip Lok Oi Peng.