Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kerajaan mewujudkan dasar berbasikal negara untuk melahirkan warga yang lebih sihat dan produktif.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata dasar berbasikal negara itu harus mempunyai ciri infrastruktur bersepadu yang memberi tumpuan kepada keselamatan dan kemudahan pengguna.    

"Dasar itu harus menyediakan infrastruktur yang selamat dan mudah seperti laluan khas yang menawarkan lebih hubungan bagi laluan itu untuk penunggang basikal," katanya pada sidang akhbar mengenai Kempen Berbasikal CAP ke-16 yang akan diadakan di Bukit Mertajam pada 22 Sept, di Georgetown hari ini.

Beliau berkata penggunaan basikal secara meluas dan tetap ke tempat kerja, sekolah dan pelbagai tugas akan meningkatkan aktiviti fizikal dalam kalangan masyarakat serta mewujudkan warga yang sihat dan produktif.

Kerajaan juga harus pertimbangkan insentif bagi pemilikan basikal dengan mudah dan sewaan basikal yang murah serta mampu dimiliki di seluruh bandar, katanya.

Mengenai Kempen Berbasikal CAP ke-16, kempen yang dianjurkan sejak 2006 itu akan melibatkan jarak sejauh 12 kilometer dan dijangka menarik lebih 2,000 peserta.

- Bernama