Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu pawagam yang dikunjungi Malaysiakini pagi ini didapati masih belum menayangkan klip video lagu kebangsaan, yang sepatutnya dimainkan sebelum tayangan filem bermula hari ini.

NONE Kunjungan ke pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) di Midvalley Megamall yang menayangkan filem Elysium pada jam 11.20 pagi ini mendapati lagu 'Negaraku' tidak dimainkan sebelum tayangan berkenaan.

Dua lagi klip video patriotik, 'Pesanan Terakhir' dan 'Tanah Tumpahnya Darahku' yang turut diwajibkan tayangan juga tidak dimainkan.

Wartawan KiniTV turut berkunjung ke pawagam sama pada jam 1.45 petang tadi untuk tayangan filem 'The Mortal Instruments: City Of Bones' dan turut mendapati tiada lagu 'Negaraku' dimainkan.

Sementara itu, GSC dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa pawagam di pusat membeli belah itu hanya menerima dua klip video patriotik serta lagu 'Nagaraku' itu pada jam 2.30 petang ini.

Pegawai komunikasi korporat GSC Esther Chew Lay Kuan dalam kenyataannya berkata, klip video tersebut dimuatkan dan ditayang di pawagam berkenaan pada jam 3.30 petang ini.

Tambahnya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional yang membekal klip video tersebut tidak menyediakan format filem 35 milimeter.

"Oleh itu, kesemua tayangan (filem format) 35mm di pawagam akan berjalan tanpa dua klip dan Negaraku," kata Chew dalam kenyataannya.

NONE Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Shabery Cheek juga petang ini menjelaskan , pawagam yang tidak dapat memainkan klip video Negaraku sebelum tayangan filem dimulakan kerana kelambatan menerima cakera padat daripada kementeriannya.

Shabery sebelum ini mengumumkan tayangan lagu kebangsaan itu di panggung wayang selepas ia dipersetujui tiga operator wayang di Malaysia.

Bagaimanapun, gambar yang beredar di laman sosial hari ini menunjukkan sesetengah pawagam telah menjalankan arahan berkenaan.

Gambar berkenaan menunjukkan kumpulan penonton berdiri menghadap skrin yang menayangkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong.

Penonton tertanya-tanya

NONE Sementara itu, seorang penonton Mohd Shafiq Harun, 21, yang ditemui Malaysiakini selepas tayangan filem di GSC Midvalley berkata beliau tertanya-tanya mengapa lagu 'Negaraku' tidak dimainkan.

Mahasiswa jurusan statistik di Universiti Teknologi Mara (Uitm) Kota Bharu itu berkata beliau turut membaca berita tentang perkara itu sebelum ini.

"Saya pun pelik juga tak ada 'Negaraku' sebab berita sebelum ini cakap ada (lagu 'Negaraku') bermula hari ini," katanya.

Beliau yang sedang bercuti semester bagaimana pun menyambut baik langkah tersebut yang diumumkan menteri sebelum ini.

"Rasanya OK juga, sekarang ini nilai patriotik pun dah kurang di kalangan orang muda. Langkah ini boleh bagi semangat sikit pada orang muda," katanya.

NONE Seorang lagi penonton yang mahu dikenali sebagai Junjie berkata dia "tidak faham" sebab langkah itu diambil dan tidak pula berasa aneh apabila lagu kebangsaan tidak dimainkan sebelum tayangan

"Saya rasa biasa-biasa sahaja (walaupun tiada 'Negaraku') tapi saya tak faham kenapa langkah ini mahu diambil," kata lelaki berusia 19 tahun itu.

"Mereka (pihak wayang) tak akan dapat membantu kita menzahirkan semangat patriotisme," kata pelajar kolej itu lagi.

ADS