Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memaklumkan masih belum ada vaksin khusus untuk mencegah jangkitan virus 'Middle East Respiratory Syndrome Corona Virus' (MERS-CoV) dan tiada ubat untuk merawat penyakit itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata WHO turut melaporkan dari September 2012 hingga semalam, sebanyak 102 orang disahkan mengidap MERS-CoV di seluruh negara yang meliputi 49 kematian.

Justeru, beliau meminta bakal jemaah haji yang dijadual berlepas ke Tanah Suci supaya mengambil vaksin 'Meningococcal' seperti yang disarankan oleh WHO dan yang digariskan oleh kerajaan Arab Saudi.

Beliau mengulas demikian susulan dari kenyataannya semalam bahawa Lembaga Urusan Tabung Haji sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan untuk memberi suntikan vaksin percuma (berikutan penularan virus MERS-CoV) kepada jemaah haji.

Selain itu, Dr Hilmi berkata kementerian telah menambah bilangan makmal untuk melaksanakan ujian pengesahan bagi jangkitan virus itu di 12 buah hospital dan satu makmal kesihatan awam di seluruh negara.

"Jemaah haji adalah dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh kementerian dan WHO bagi mencegah penyakit itu," katanya.

Nasihat kesihatan dan status terkini kejadian MERS-CoV boleh diperolehi di laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my .

- Bernama