Mayat bayi baru lahir ditemui terapung di sungai
Mayat bayi lelaki yang baru lahir ditemui terapung di dalam Sungai Pari berhampiran Taman Falim Indah di Ipoh hari ini.
Pegawai Bomba Kanan Dua dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Abdul Manap Hashim berkata mayat bayi itu yang masih bertali pusat dan uri ditemui orang awam yang melalui jambatan di sungai itu kira-kira pukul 5 petang tadi.
"Bayi itu ditemui dalam keadaan sudah kembung dan tanpa pakaian. Kita percaya ia baru dilahirkan berdasarkan tali pusat dan uri yang masih ada pada bayi itu," katanya ditempat kejadian.
Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dibuang di kawasan berhampiran dan dibawa arus sungai.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran.
- Bernama

