Fitch: Kurang subsidi tak ubah penarafan 'negatif'
Langkah pengurangan subsidi petrol dan diesel yang diumumkan kerajaan tidak mampu merubah penarafan prospek negara yang kini dinilai sebagai "negatif" oleh agensi penarafan Fitch Rating.
Dalam kenyataannya hari ini, agensi itu menggesa agar langkah-langkah yang bersifat struktural dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan negara untuk memperbaiki prospek ekonomi Malaysia.
"Kesudahannya, langkah pembetulan fiskal yang diumumkan semalam adalah terlalu kecil untuk merubah pandangan dalam penarafan 'A-' Malaysia.
"Pelaksanaan reformasi berterusan, jika diiringi langkah bersifat struktur untuk melebarkan dasar pendapatan negara, boleh membawa perbezaan kepada profil hutang negara itu.
"Namun, reformasi yang sebegitu hebat yang boleh menghadapi kemungkinan situasi yang merencatkan pertumbuhan, belum lagi kelihatan buat masa ini," kata agensi itu dalam kenyataannya.
Dalam kenyataan sama, agensi itu menyatakan pemacu utama peningkatan hutang negara kini adalah defisit sektor awam yang semakin melebar.
Ia menjangkakan kerajaan BN akan terus berhadapan kesukaran untuk menangani situasi tersebut dengan menambah pendapatan negara menerusi pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Ini kerana kerajaan kini berada pada kedudukan lemah untuk melaksanakan langkah itu susulan keputusan pilihan raya lalu, kata agensi itu lagi.
Fitch Rating pada awal Ogos lalu menyemak semula prospek Malaysia daripada "stabil" kepada "negatif".
Alasan yang diberikan adalah kurangnya kemajuan dalam reformasi kerajaan bagi menangani defisit fiskal.
Ia juga mengetengahkan kebimbangan berhubung peningkatan hutang isi rumah dan hutang kerajaan, sebanyak 53.3 peratus pada penghujung 2012, tidak termasuk liabiliti luar jangka.
HABIS

