DBKL: Sudah banyak notis untuk kuil Muneswarar
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pihaknya telah berkali-kali mengeluarkan notis untuk meroboh struktur dinding yang menempatkan premis perniagaan di Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman dekat Jalan P Ramlee.
Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata tindakan meroboh dinding premis itu berdasarkan keputusan mahkamah supaya struktur itu dialihkan, sekaligus menegaskan tidak timbul isu DBKL mahu meroboh kuil berusia lebih 100 tahun.
"Notis dah berkali-kali kita keluarkan. Bukan untuk hari (Ahad lalu) sahaja. Dulu kita buat sekali tapi kita tangguh. Tiga empat kali dikeluarkan dan diketahui umum oleh pihak berkenaan. (Jadi) tak ada isu (roboh kuil).
"Kita hanya (mahu) merobohkan dinding untuk perniagaan tetapi tempat ibadat itu masih ada di situ. (Ia) tak dialihkan.
"Kita nak buat sistem perparitan, sebab itu kena beralih (struktur). Tempat ibadat itu masih ada di situ. Dia berniaga di situ tak bolehlah," katanya.
Salleh yang ditemui Malaysiakini selepas merasmikan logo Majlis Promosi Pelancongan Asia (CPTA) di ibu negara pagi ini menjelaskan bahawa notis itu telah diserahkan sejak empat bulan lalu.
"Notis, lama dah bagi dah. Sudah berkali-kali. Dulu dah bagi dah tapi kita bertangguh. Kita bagi empat bulan lepas. Tindakan dibuat oleh DBKL berdasarkan keputusan mahkamah," katanya.
Salleh turut ditanya mengenai dakwaan bahawa anggota penguatkuasa DBKL yang menjalankan operasi memakai kasut dan menghisap rokok dalam kuil ketika operasi pada hari Ahad lalu.
Tak tahu menahu
Katanya, beliau "tidak tahu menahu" mengenai perkara itu dan menjelaskan bahawa pihaknya melakukan kerja perobohan itu berdasarkan kepada garis panduan operasi (SOP) yang ditetapkan
"Saya tidak tahu perkara itu. Saya tidak maklum.... (Perkara) itu saya tidak maklum. Kita ada SOP. Itu saya tidak dimaklumkan. Tapi tugas kita, kita telah laksanakan," katanya.
Jelasnya, garis panduan tersebut adalah berhubung adalah berhubung tindakan untuk merobohkan dinding terbabit.
“Bila kita ambil tindakan nak pecahkan (dinding) itu, kita sudah berkali-kali kita buat keputusan.
"Kita beri notis supaya meraka keluar, tapi dia tak mahu juga. Tindakan kena buat. Kalau tidak bangunan (bersebelahan) itu tidak ada CF (sijil layak duduk). Itu tindakan yang kita buat,” katanya.
Aktivis yang mempertahankan kuil itu berkata jawatankuasa tempat ibadat itu pada Ahad lalu mendakwa tidak dimaklumkan mengenai kerja perobohan itu walaupun pihak berkuasa menyatakan sebaliknya.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula keesokan harinya dilaporkan memberi jaminan kuil itu tidak akan dirobohkan sebaliknya pihaknya akan mencantik dan membina pagar bagi melindunginya.

