Pergerakan Pemuda Umno hari ini mencalonkan empat pemimpin sayap itu bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno bagi pemilihan parti itu Oktober ini.

    

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berkata empat pemimpin utama itu ialah Naib Ketua Pemuda Datuk Razali Ibrahim, Ketua Penerangan Pemuda Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, pengerusi biro ekonomi Pemuda Datuk Sohaimi Shahadan dan pengerusi unit media baru Pemuda, Tun Faisal Ismail Aziz.

    

"Kita sebulat suara beri pengesahan dan sokongan kepada keempat-empat calon ini dan saya sendiri akan minta semua perwakilan pemuda yang akan mengundi untuk Majlis Tertinggi di mesyuarat bahagian masing-masing beri sokongan tak berbelah bahagi," katanya.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.

    

Katanya keempat-empat calon itu ialah calon rasmi yang mendapat sokongan sebulat suara jawatankuasa Pemuda Umno setakat hari ini, namun sekiranya terdapat anggota Pemuda lain yang berminat mencalonkan diri untuk bertanding sebagai anggota Majlis Tertinggi, ia akan dipertimbangkan.

    

Khairy berkata empat pemimpin Pemuda Umno menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua pemuda pada pemilihan di peringkat sayap iaitu Ketua Pemuda Umno Perak Khairul Azwan Haron; Exco Pemuda Umno Lokman Noor Adam; Ketua Pemuda Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Lenggong Mohd Iruan Zulkefli.

    

Ditanya berapa ramai anggota Pemuda yang telah menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pemuda,  beliau berkata kira-kira 170 anggota telah menawarkan diri untuk bertanding sehingga kini.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau akan mengumumkan keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak kerusi Majlis Tertinggi (MT) pada masa yang sesuai.

    

"Saya ada tiga pilihan namun kena fikir tanggungjawab besar sebagai menteri besar untuk memajukan Kedah dan juga pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

    

"Keputusan ini berat kerana perlu menawarkan diri dan bukan lagi berdasarkan pencalonan," kata Mukhriz kepada pemberita yang meminta beliau menyatakan hasratnya mengenai perkara itu.

    

Menteri besar itu ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat minggu exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

    

Mukhriz menjelaskan spekulasi dalam blog bahawa beliau berhasrat bertanding kerusi MT pada pemilihan kali ini bukan datang dari mulutnya atau rakan-rakannya.

    

- Bernama