Pandangan diperlukan berhubung RUU Akta Tisu Manusia
Kerajaan mahu orang ramai memberikan pandangan berhubung Rang Undang-undang Akta Tisu Manusia 1974, sebelum ia dikemukakan ke pejabat Peguam Negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S
Subramaniam.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk menggubal akta berkenaan yang hanya menyentuh aspek pendermaan organ dan tisu dari tubuh orang yang telah meninggal dunia bagi tujuan perubatan, pendidikan dan penyelidikan perubatan.
Katanya, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kesedaran rakyat agar tampil ke depan untuk menderma organ, selain menyelaras aktiviti-aktiviti pemindahan organ yang dikendalikan di bawah kementerian itu.
"Pada 2009, kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Transplantasi Kebangsaan telah bercadang untuk menggubal suatu akta baharu yang lebih menyeluruh bagi menggantikan Akta Tisu Manusia 1974.
"Selain daripada itu ianya juga bertujuan mengawal aktivi tidak beretika seperti pemerdagangan organ. Rang undang-undang ini juga menyentuh mengenai larangan pengambilan organ daripada banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati," kataya pada sidang media di Putrajaya semalam.
Beliau berkata pandangan awal orang ramai telah diambil kira melalui seranta awam atas talian bermula 29 Ogos hingga 12 September 2012.
Bagi seranta awam atas talian peringkat kedua akan dipaparkan dalam laman sesawang rasmi kementerian itu mulai 12 September ini untuk membolehkan orang ramai menyalurkan pandangan mereka.
"Untuk peringkat kedua seranta awam atas talian, keseluruhan draf rang undang-undang ini akan dipaparkan di laman sesawang rasmi kementerian untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas lanjut dari pihak berkepentingan dan orang awam," katanya.
Subramaniam juga kesal dengan kadar pendermaan organ di negara ini hanya di sekitar 0.8 pendermaan untuk sejuta penduduk yang merupakan antara terendah di dunia.
Jelasnya, walaupun terdapat peningkatan kadar pendermaan organ setiap tahun, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit.
"Sehingga Jun tahun ini, terdapat lebih daripada 17,000 pesakit yang masih menunggu untuk pemindahan organ. Ketidakseimbangan di antara permintaan dan bekalan organ meningkatkan risiko berlakunya aktiviti yang tidak beretika seperti pemerdagangan organ," katanya.
Sementara itu, Subramaniam berkata kementerian itu akan melancarkan Kempen Nak Sihat peringkat kebangsaan pada 7 September di Dataran Wawasan, Presint 2 pada 8 pagi untuk menggalakkan rakyat khususnya golongan belia untuk hidup secara aktif dan sihat dengan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin harian mereka.
Menurutnya, majlis pelancaran di peringkat negeri juga diadakan secara serentak di seluruh negara pada hari itu.
"Cara hidup yang aktif secara fizikal di beri penekanan sebagai salah satu faktor utama dalam pencegahan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes dan hipertensi.
"Kempen ini akan menggabungkan dua strategi utama iaitu menggembleng belia secara besar-besaran untuk melakukan aktiviti fizikal secara serentak di semua negeri dan menyampaikan mesej menggalakkan aktiviti fizikal melalui media massa," katanya.
Pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya berjalan 10,000 langkah secara beramai-ramai, sukan lasak, sukaneka, demonstrasi seni mempertahankan diri, tarian dan pameran kesihatan.
-Bernama

