Penduduk sekitar kuari Bkt Chuping diarah pindah
Para penduduk yang menghuni pinggir kawasan kuari batu kapur di Bukit Chuping dekat Kangar diarah berpindah bagi mengelakkan kemungkinan terkena serpihan batu ketika kerja-kerja meledakkan bukit itu dijalankan.
Kuari milik Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) itu telah lama beroperasi di bukit itu dan menjadi penyumbang utama sumber bahan mentah untuk pengeluaran simen syarikat berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar Perlis, Datuk Mat Rawi Kassim yang ditemui selepas meninjau kawasan kuari berkenaan berkata arahan itu dikeluarkan bagi memastikan para penduduk berhampiran tidak berdepan risiko terkena serpihan batu.
Baru-baru ini kegiatan kuari itu menyebabkan kerosakan kepada bangunan Sekolah Kebangsaan Chuping dan mencederakan 14 pelajar serta seorang guru wanita yang sedang menjalankan kegiatan mewarna sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-56.
Kejadian berlaku apabila bongkah batu dan serpihannya melayang daripada kuari yang terletak kira-kira 400 meter daripada sekolah berkenaan dan menghempap bangunan dewan makan sekolah yang ketika itu 150 pelajar dan guru-guru sedang menjalankan kegiatan mewarna.
Asrama pelajar perempuan serta makmal sains turut rosak.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari 30 Ogos lalu, kesemua mangsa terdiri daripada 10 pelajar perempuan dan empat lelaki Tahun Satu hingga Lima serta guru cedera ringan, kebanyakannya terkena serpihan siling dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Mat Rawi berkata, kejadian itu mendorong kerajaan negeri melihat kesannya secara menyeluruh termasuk ancaman kepada para penduduk sekitar terutama yang berhampiran dengan kuari itu.
Menurutnya, terdapat tujuh buah rumah berhampiran kuari berkenaan iaitu dalam lingkungan jarak kira-kira 50 meter sedangkan serpihan batu boleh melayang lebih jauh daripada jarak itu.
Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) diarah menghantar notis segera kepada para penduduk yang menghuni tanah kerajaan itu supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Mat Rawi berkata pihak CIMA juga telah bertindak pantas dengan membaiki segala kerosakan di sekolah itu dan membayar pampasan sebanyak RM300 kepada setiap pelajar yang cedera dan RM500 kepada guru yang terbabit.
Menurutnya, CIMA juga bersetuju mengubah kawasan untuk meletupkan bukit itu pada jarak 200 meter daripada lokasi asal bagi mengelakkan risiko serpihan batu melayang jauh dan mengancam sekolah terbabit.
Katanya, CIMA juga akan menjalankan operasi meletup batu itu di luar waktu persekolahan dan akan membunyikan siren amaran sebelum kawasan bukit itu diletupkan.
Turut meninjau kawasan kuari berkenaan ialah anggota dewan undangan negeri kawasan Chuping, Asmaiza Ahmad dan para pegawai kanan CIMA.
-Bernama

