PERKASA: Tutup PEMANDU, potong gaji pegawai k'jaan
Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menggesa agar kerajaan menutup Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan memotong gaji pegawai pengurusan tertinggi kerajaan bagi menghadapi kenaikan harga minyak.
Ibrahim dalam laporan Utusan Malaysia menyebut, kewujudan Unit Perancangan Ekonomi telahpun memadai untuk menjalankan fungsi PEMANDU.
“Jika kerajaan memerlukan pakar bagi menggantikan PEMANDU, kepakaran itu boleh digantikan dengan khidmat profesor atau profesional daripada universiti tempatan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai cadangan pemotongan gaji tersebut, Ibrahim berkata pengurangan itu perlu dilakukan pada kadar lima hingga 10 peratus dari pendapatan yang diterima oleh pengurusan tertinggi kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Lebihan berkenaan boleh digunakan untuk mengurangkan beban rakyat, katanya lagi.
“Antara pihak yang wajar dipotong gaji ialah menteri, ketua dan timbalan ketua setiausaha serta ketua syarikat milik kerajaan.
“Tindakan itu mestilah dipertimbangkan kerana rakyat sebelum ini pernah menyuarakan apatah lagi apabila peningkatan harga minyak berlaku. Ia membuatkan rakyat gelisah,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

