PERKASA Pulau Pinang hari ini menggesa Indah Water Konsortium (IWK) mengkaji semula tarif caj pembetungan dari tangki jenis tandas curah yang meningkat hampir lima kali ganda, berkuatkuasa Julai lepas.
Ketua Wira PERKASA negeri, Mohd Rizuad Mohd Azudin berkata, kadar baru sebanyak RM230 bagi proses mengepam keluar sisa kumbahan bagi kapasiti di bawah 2.5 meter padu dan RM360 untuk 2.5 meter padu ke atas, berbanding hanya RM48 dikenakan sebelum ini.
"Kita terima banyak aduan dari penduduk terutama yang tinggal di luar bandar serta kawasan rendah mengatakan tangki septik mereka mudah penuh bukannya akibat sisa kumbahan tetapi akibat limpahan air hujan sehingga terpaksa dipam sebulan sekali," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
Katanya kenaikan caj mendadak itu tidak sepatutnya melibatkan pemilik rumah yang mempunyai tangki septik sendiri terutama penduduk kampung yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah.
"Ini tidak adil jika dibandingkan dengan mereka yang tinggal di pangsapuri atau pemilik bangunan komersil, bayaran yang dikenakan lebih rendah dan hanya perlu dibayar enam bulan sekali," katanya.
Katanya tindakan segera perlu diambil ekoran beberapa penduduk yang ditemui di sekitar kampung di Balik Pulau dan Teluk Bahang berhasrat mengepam tangki mereka sendiri dan menyalurkan sisa kumbahan ke dalam longkang atau sungai kerana tidak mampu menampung kos.
- Bernama
