Wanita Umno ikrar sokong Musa, Reezal tanding MT
Pergerakan Wanita Umno akan memberi sokongan kepada Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir dan anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menawarkan diri bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) parti, Oktober ini.
Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sokongan tidak berbelah bagi itu adalah bagi memastikan kedua-dua calon berkenaan menang dan boleh membawa suara rakyat Pulau Pinang ke persada negara.
"Hari ini saya nak umumkan yang perwakilan Wanita berjanji akan memberi sokongan serta undi kepada dua pemimpin Umno dari Pulau Pinang iaitu Datuk Musa dan Datuk Seri Reezal yang menawarkan diri untuk MT.
"Kita semua tahu dua pemimpin itu mempunyai suara yang cukup lantang terutama dalam mempertahankan Umno serta nasib orang Melayu di Pulau Pinang," katanya semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya dan Sambutan Merdeka Wanita Umno Pulau Pinang, di perkarangan pejabat Umno Kepala Batas hari ini.
Sementara itu, Reezal yang hadir pada majlis itu menyatakan terima kasih kepada Shahrizat atas sokongan itu dan berharap perwakilan dari negeri-negeri lain dapat memberi sokongan kepadanya dan Musa.
Di majlis itu, Wanita Umno Pulau Pinang yang dipimpin ketuanya Zabariah Abdul Wahab turut melafazkan ikrar menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi kepada Shahrizat dalam mengekalkan jawatan ketua pergerakan itu.
Sementara itu, Shahrizat berkata Wanita Umno akan mengadakan mesyuarat exco pergerakan itu pada 12 September ini untuk memilih calon bagi jawatan MT.
Katanya, senarai calon Wanita yang bakal diketengah untuk jawatan itu diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.
"Selepas mengambil kira semua pandangan dalam mesyuarat itu, saya akan umumkan calon daripada Wanita Umno yang akan bertanding sebagai MT sebelum 21 September ini.
"Memang susah untuk Wanita nak menang sebagai anggota MT, kita ada calon Wanita yang mempunyai kelayakan dan kepimpinan seperti dalam kalangan exco dan Ketua Wanita negeri tetapi mereka enggan menawarkan diri kerana mereka rasa susah sebab Wanita tidak diberi peluang untuk menang," katanya
Shahrizat berkata setakat ini, dua calon yang menawarkan diri ialah Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman dan Exco Wanita Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah.
Sementara itu, beliau berkata visi untuk mempertahan kerusi ketua Wanita adalah bagi mengarusperdanakan kepimpinan pergerakan berkenaan dengan mengetengahkan calon bagi menduduki kerusi MT Umno.
"Saya harap pada pemilihan kali ini ada perubahan kerana perwakilan Wanita ramai dan kedua, kaum lelaki juga akan memberi undi kepada calon Wanita yang bertanding nanti.
"Saya juga minta calon Wanita diberi peluang menganggotai MT kerana itu adalah satu cara untuk membolehkan Wanita mendapat tempat dan memberikan pendapat," katanya.
- Bernama

