Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan menahan 65 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar dalam operasi membabitkan tiga bas ekspres di Kuala Krai dan Pasir Mas, hari ini.

Komander UPP Kelantan Rusli Karim berkata mereka dipercayai dari Lembah Klang, menuju ke Rantau Panjang dekat ini untuk pulang ke negara asal dengan menjadikan selatan Thailand sebagai kawasan transit berikutan Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) Bersepadu di seluruh negara bermula 1 Sept lepas.

"Dalam serbuan pertama pada 3.30 pagi tadi, sepasukan tujuh anggota menahan dua bas di tepi jalan di daerah Kuala Krai. Kita menahan 33 lelaki dan empat wanita warga Myanmar, berusia antara 18 dan 48 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya dalam sidang media di Pejabat UPP di Kota Bharu hari ini.

Katanya dalam operasi di Simpang Repek Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang pukul 6 pagi ini, 25 lelaki dan tiga wanita warganegara sama berusia antara 17 dan 40 tahun ditahan kerana kesalahan sama.

"Kita juga menjalankan risikan bagi mengesan individu tertentu yang dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk dan keluar warga asing di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dari Tumpat ke Jeli.

"Syarikat bas itu turut disiasat kerana dibimbangi mereka dijadikan sebagai 'alat' untuk membawa warga asing ke beberapa destinasi di negara ini," katanya.

- Bernama