Paip pecah: Pulau Ketam, Sg Lima terjejas
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengenal pasti lokasi paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air di seluruh Pulau Ketam dan Sungai Lima di Kuala Lumpur.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata kontraktor yang dilantik menjumpai lokasi berkenaan di Sungai Terusan Bagan kira-kira empat kilometer dari Sungai Chandong pada 3.40 petang semalam.
"Pihak SYABAS kini sedang giat melakukan kerja penilaian tahap kebocoran dan proses pemulihan hanya akan dapat dikenal pasti selepas itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengah hari semalam, gangguan yang berlaku di kawasan berkenaan menjejaskan sejumlah 1,184 akaun melibatkan 5,921 pengguna berikutan paip pecah.
Sehubungan itu, SYABAS mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan di Klang serta Shah Alam dan menyediakan bantuan dari semasa ke semasa, termasuk membuka dua Pusat Perkhidmatan Setempat (PKS) di Jeti Pulau Ketam dan Jeti Sungai Lima.
Priscilla berkata pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan SYABAS (Puspel) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPELaduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222.
Pengguna juga boleh membuat aduan di laman Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'.
- Bernama

