Zahid: Tindakan tegas jika menipu dalam program 6P
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi memberi amaran untuk mengenakan tindakan tegas terhadap pegawai bawah kementeriannya yang didapati menipu dalam program pemutihan pekerja asing 6P.
"Apa yang kami lakukan di KDN dan juga di Jabatan Imigresen sama ada dokumen palsu itu dikeluarkan oleh pegawai dalaman atau syarikat pengendali pekerja asing, asalkan ia dilakukan dengan tidak mengikuti undang-undang dan peraturan sedia ada, tindakan mengikut undang-undang dilakukan," kata Zahid dalam sidang medianya di Sepang hari ini.
Malaysiakini dalam laporan eksklusif Jumaat lalu melaporkan, aduan demi aduan timbul berhubung dakwaan penipuan berjumlah jutaan ringgit yang terlibat dalam program terbabit, apabila kerajaan menjalankan operasi menahan ribuan pekerja asing.
Kegiatan tersebut dibimbangi melibatkan orang dalam kerajaan kerana mangsa penipuan didakwa dibekalkan dengan salinan dokumen daripada Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri.
Satu laporan polis yang dibuat pada bulan lalu mendakwa, seorang ejen mampu meraih lebih RM100,000 daripada sekumpulan 26 orang pekerja asing.

