Shafie: Nombor tiga pun, nombor tigalah...
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal berkata beliau tidak kisah dipilih nombor berapa pun asalkan naib presiden.
"Saya tidak kisah sangat nombor ini, satu ke, dua ke, tiga ke, tetapi yang penting bagi saya asalkan 'sangkut' sahaja. Nombor tiga pun, nombor tigalah, jika itu landasan yang membolehkan saya terus memberi sumbangan untuk Umno," katanya.
Beliau berucap pada majlis Jalinan Kasih Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Seremban, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Shafie yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna akan mempertahankan jawatan Naib Presiden Umno yang dimenanginya pada pemilihan parti itu pada Mac 2009.
Dalam pemilihan itu, Shafie meraih 1,445 undi bersama dua lagi naib presiden - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memperoleh 1,592 undi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein 1,515 undi.
-Bernama

