Boustead Holdings Berhad menarik balik saman fitnahnya terhadap Anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin selepas Sim hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi berhubung kenyataannya mengenai projek tebus guna tanah oleh syarikat itu.

"Plaintif (Boustead) bersetuju menerima penyelesaian penuh dan muktamad penarikan balik kenyataan dan permohonan maaf oleh defendan (Sim)," kata peguam yang mewakil Boustead, Fahri Azzat.

Beliau berkata Boustead dan Sim bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu secara baik. Boustead turut diwakili peguam Izzat Othman manakala Sim diwakili peguam Ranjit Singh.

Membacakan permohonan maaf itu di hadapan Hakim Datuk Varghese George  Varughese, Sim berkata semua kenyataan yang dibuat terhadap syarikat korporat  berkenaan adalah tidak tepat.

"Dengan itu, saya tanpa bersyarat ingin menarik balik semua kenyataan saya dan saya memohon maaf kepada Boustead bagi sebarang salah tafsir yang timbul daripada komen saya itu," katanya.   

Sim juga mengakui bahawa kenyataan yang dibuatnya pada ketika beliau menjadi Anggota  Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak merupakan pandangan peribadinya.

Varghese memuji tindakan kedua-dua pihak yang  berjaya menyelesaikan masalah tersebut dengan baik.

Pada 7 Oktober 2011, Boustead memfailkan saman fitnah terhadap Sim memohon gantirugi RM1 juta dan kos berhubung kenyataan Sim yang dibuat pada 2 Okt tahun sama yang didakwa memfitnah syarikat itu.

Syarikat itu juga memohon defendan supaya membuat permohonan maaf serta menarik balik kenyataan secara terbuka dalam semua akhbar tempatan dan memberi akujanji secara bertulis supaya tidak mengulangi kenyataan itu sama ada secara  lisan atau bertulis kepada umum.

Plaintif juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi

teladan.

- Bernama