Petisyen batal keputusan Parlimen Tawau ditolak
Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu hari ini menolak dengan kos petisyen yang difailkan calon PKR untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 bagi kerusi Parlimen Tawau yang dimenangi Barisan Nasional (BN).
Hakim Supang Lian memutuskan bahawa petisyen yang difailkan Datuk Kong Hong Ming daripada PKR tidak boleh mencabar daftar pemilih yang tidak disahkan atau telah disahkan semula di mahkamah mengikut Seksyen 9A Akta Pilihan Raya.
Beliau berkata pempetisyen sepatutnya membuat bantahan mengenai perkara itu semasa tempoh bantahan selepas daftar pemilih diwartakan.
Katanya dakwaan pempetisyen bahawa pemilih yang tidak disahkan telah memastikan kemenangan BN di kawasan Parlimen Tawau dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah, oleh itu tidak mempunyai bukti kukuh.
Supang memerintahkan Kong supaya membayar sejumlah RM30,000 kepada responden pertama, kedua dan ketiga serta RM30,000 kepada responden keempat.
Dalam petisyen itu, beliau menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya dan pegawai pilihan raya negeri Sabah masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Beliau turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya dan Anggota Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching masing-masing sebagai responden ketiga dan keempat.
Kong memfailkan petisyen itu pada 12 Jun di Mahkamah Tinggi Tawau dengan mendakwa pemilihan Yap, kini Timbalan Menteri Pendidikan, tidak dibuat menurut prinsip yang menghendaki responden pertama dan kedua serta pegawai mereka melaksanakan pendaftaran pengundi yang sewajarnya bagi memastikan daftar pemilih hanya mengandungi pengundi yang layak.
Beliau seterusnya mendakwa daftar pemilih itu dicemari penipuan dan pilihan raya itu diadakan dalam cara tidak berperlembagaan.
Yap memenangi kerusi Parlimen Tawau dalam pertandingan empat penjuru setelah memperoleh 21,331 undi berbanding Kong yang mendapat 16,352 undi.
- Bernama

